DBKL wujud zon khas untuk motorsikal di lampu isyarat
Zon khas ini menjamin keselamatan pejalan kaki untuk melintas dan memberi kemudahan kepada penunggang motosikal berhenti dengan selamat
KUALA LUMPUR: Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan melaksanakan penstrukturan trafik baru di ibu kota dengan mewujudkan zon keutamaan motosikal di beberapa lokasi lampu isyarat. Zon tersebut akan dicat warna merah dan putih sebagai penanda kepada setiap penunggang motosikal untuk berhenti di dalam petak khas sementara menunggu lampu isyarat. Kenderaan lain perlu memberhentikan kenderaan masing-masing di belakang petak itu. Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Seri Mhd Amin Nordin Abd Aziz berkata penstrukturan trafik ini bagi menjamin keselamatan pejalan kaki untuk melintas dan memberi kemudahan kepada pengguna motosikal berhenti dalam keadaan selamat.
“Dalam usaha ini, saya harap agar ia dapat mengurangkan kes jenayah yang sering berlaku di jalan raya seperti masalah ragut dan pecah cermin kereta,” katanya pada sidang media hari ini. Amin berkata setakat ini DBKL menyediakan zon motosikal di 3 lokasi merangkumi Jalan Raja Laut, Jalan Tunku Abdul Rahman dan Jalan Tun Perak. Malah pihaknya juga mengenal pasti beberapa lokasi lain untuk mewujudkan kemudahan itu antaranya di Jalan Tunku Abdul Rahman. “Kami akan wujudkan satu zon motosikal pada setiap bulan di lokasi yang menjadi tumpuan pengguna motosikal. “Setiap zon yang berkeluasan 6.096 meter mampu memuatkan lebih 20 motosikal dalam satu-satu masa,” katanya. Amin berkata pada peringkat awal ini, DBKL akan memberi tempoh percubaan selama 3 bulan bermula bulan ini kepada pengguna jalan raya untuk membiasakan diri kepada penstrukturan trafik yang baru itu. Selepas tempoh percubaan itu, Mhd Amin Nordin berkata pengguna jalan raya yang gagal mematuhi arahan itu akan dikenakan kompaun antara RM50 hingga RM100.
|