Edited by annehuda at 12-4-2017 07:44 AM
KUALA LUMPUR: Penyanyi, Elyana, mengakui bersikap ekspresif di laman sosial dan meminta peminat supaya tidak salah faham dengan gambar yang dimuat naiknya.
Elyana atau nama penuhnya Erneelya Elyana Emrizal, 30, memberitahu BH Online, luahan yang sering dimuat naiknya di Instagram tidak membabitkan perkara besar, sebaliknya sekadar perkongsian rasa pada sesuatu masa.
“Saya berbintang Cancer dan boleh berubah emosi dalam sekelip mata walaupun ada kala isunya tidaklah sebesar mana. Oleh itu, janganlah ada yang salah faham dan mengaitkan perkara itu dengan perihal rumah tangga pula.
“Jika diikutkan, sejak dulu lagi saya jarang memuat naik gambar bersama keluarga, terutamanya suami. Perkongsian saya di laman sosial kebanyakannya membabitkan perkembangan diri saya saja, cuma sesekali ada diselitkan keluarga.
“Tidak kisah apa yang ingin diperkatakan oleh orang ramai kerana saya tidak ambil pusing mengenainya. Apa yang penting, saya sentiasa menjadi diri sendiri,” kata Elyana.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai tindakannya yang sering memuat naik gambar berserta kata-kata sedih di akaun Instagram beliau, baru-baru ini, hingga ada yang membayangkan perbuatannya itu ada kaitannya dengan rumah tangga.
Elyana berkahwin dengan jejaka pilihan hatinya, Khairul Anuar Husin, 42, pada November 2010.
Sementara itu, bercakap mengenai kerjaya seninya, Elyana memberitahu beliau baru saja selesai merakamkan lagu ciptaan Tam Spider dan Budi Hikayat untuk dijadikan single terkini dirinya.
“Sebenarnya, saya berhasrat untuk menghasilkan album penuh, namun enggan melakukannya dalam keadaan tergesa-gesa. Jadi, lahirlah single ciptaan Tam Spider itu. Insya-Allah, lagu baharu ini dijangka memasuki pasaran dalam masa terdekat,” katanya.
Menurut penyanyi yang meledak dengan lagu Tak Tercapai Akalmu ini, beliau terpaksa merakamkan lagu berkenaan sebanyak dua kali bagi memberikan hasil terbaik untuk peminat walaupun fokus turut terarah kepada bapanya yang berada di hospital selama sebulan kerana jangkitan paru-paru.
Sumber : BH Online
|