Alor Setar: Sembilan belas orang cedera dalam kejadian ribut di Kompleks PAS Kota Sarang Semut, Alor Setar, di sini, sempena Muktamar Tahunan PAS ke-63 hari ini.
Ketua Cawangan Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JPBM) Kedah Penguasa Bomba Mohd Naim Mat Jaaffar berkata, seramai 13 mangsa terdiri tujuh lelaki dan enam wanita yang cedera dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), di sini.
Menurutnya, seorang wanita menerima rawatan di Zon Merah selepas tidak sedarkan diri, sembilan dirawat di Zon Kuning dan tiga di Zon Hijau.
"Sementara enam orang yang mengalami cedera ringan dirawat di lokasi kejadian sebelum dibenarkan pulang.
"Kami menerima maklumat berhubung kejadian itu pada jam 7.43 malam dan tiba di lokasi tujuh minit kemudian.
"Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jalan Raja dikejarkan ke lokasi kejadian membabitkan dua pegawai dan 10 anggota bomba.
"Ketika kejadian dianggarkan 3,000 orang berada di lokasi kejadian dan mendapati satu khemah separuh bulan bersaiz 24 meter x 30 meter runtuh dibadai ribut," katanya.
Difahamkan lebih 20 gerai mengalami kerosakan akibat kejadian itu.
Setakat ini identiti mangsa masih belum didedahkan.