|
Laporan Harvard Business Review menyebut tentang sebuah kajian yang dijalankan oleh University Pennsylvania dan Ohio State University ke atas staf di pusat panggilan sebuah syarikat insurans dengan membuat pemerhatian khusus terhadap mood mereka sepanjang hari bekerja.
Kajian itu mendapati bahawa Staf yang memulakan pagi mereka dengan mood yang buruk (menerima panggilan yang kasar atau kurang sopan) akan mengakhiri hari mereka dengan muram dan produktiviti yang rendah.
Manakala, staf yang memulakan hari mereka dengan mood yang baik (menerima panggilan yang sopan), akan mengakhiri hari mereka dengan penuh gembira dan produktif.
Di sini terbukti bahawa mood waktu pagi amat penting untuk menjadikan kita ceria sepanjang hari. Berikut ada 8 solusi untuk anda menyuntik mood baik pada waktu pagi.
1. Ciuman Sebelum Keluar Rumah
Bertuah kepada yang sudah berpasangan dan hidup bahagia. Kepada yang bujang dan tinggal dengan ibu bapa pun boleh lakukan ini. Ciumlah pasangan atau ibu bapa anda sebelum anda keluar bekerja.
Apa faedahnya ciuman ini? Mudah sahaja, selain daripada meningkat adrenalin anda, ciuman ini mengingatkan anda bahawa apa pun yang buruk berlaku di perjalanan atau pejabat nanti, ada seseorang yang setia menanti anda di rumah.
2. Bertolak Lebih Awal
Sikap tergesa-gesa akan membuatkan anda kelam kabut. Apatah lagi jika berlaku kesesakan, ada kereta yang perlahan atau kereta anda rosak. Anda akan cepat berfikiran negatif seperti hilang sabar, baran dan sebagainya.
Jadi, sebaiknya anda cukup masa dengan bangun awal, bersiap awal dan bertolak awal. Anda akan berasa tenang dan mampu mengawal sebarang kemungkinan.
3. Ikut Nasihat Steve Jobs
Di dalam ucapannya di Stanford University pada tahun 2006, Steve Jobs mendedahkan bahawa dia memulakan harinya dengan bertanya beberapa soalan berikut:
“Jika hari ini merupakan hari terakhir saya, apakah saya mahu lakukan perkara yang akan saya lakukan hari ini?”
Dia mengulanginya berkali-kali, jika jawapan kepada soalan itu “TIDAK” selama beberapa hari – maka ia menjelaskan kepadanya bahawa dia perlu melakukan perubahan dalam hidupnya.
4. Lihat Diri Dalam Cermin
Setiap hari, sememangnya ramainya yang melihat cermin. Mereka memeriksa mekap, rambut atau tudung sama ada elok atau tidak. Bagaimanapun, dengan hanya bercermin kecil atau separuh, anda sebenarnya sedang menyorokkan diri anda yang sebenar.
Kini ramai yang tidak mempunyai cermin besar atau tidak sempat melihat diri pada cermin besar. Sedangkan hakikatnya hal ini amat penting untuk kita lakukan setiap pagi.
Dengan berdiri depan cermin besar, anda akan dapat melihat diri anda yang sebenar. Adakah anda kelihatan bersedia, yakin dan sihat? Tanyalah soalan itu sewaktu berdiri di depan cermin besar.
5. Main Dengan Kucing
Bagi yang ada haiwan peliharaan seperti kucing, anda pasti akan sibuk menyiapkan keperluan si bulus sebelum keluar rumah. Bahkan sempat menggomolnya seketika tanpa menghiraukan bulu-bulu yang melekat pada baju.
Bagi anda, bulu-bulu itu adalah seumpama swaroski yang ditatah indah. Tidak ada yang perlu dirisaukan. Pagi itu anda tinggalkan dia dengan penuh rasa rindu dan anda mahu pulang segera ke rumah pada petangnya.
Pada saya, kucing adalah teman paling sempurna kerana dia tidak tahu bagaimana mahu menyakiti hati kita.
6. Belajar Sesuatu Yang Baru
Setiap pagi, bukalah facebook atau IG untuk melihat status terkini rakan-rakan. Tentu ada saja yang memuat naik kata-kata pujangga, gambar-gambar cantik atau pun kisah mereka yang mencuti hati.
Mungkin anda sempat membaca berita atau mendengar sesuatu di radio. Mood anda akan jadi lebih baik apabila anda dapat belajar sesuatu yang baru setiap pagi.
7. Minum 2 Gelas Air Kosong
Biasakan diri anda minum 2 gelas air kosong sebaik sahaja bangun tidur. Jika anda sedang berpuasa, pastikan anda minum sehingga 4 gelas air sewaktu bersahur. Minumlah 2 gelas sebelum makan dan 2 gelas lagi sebelum waktu imsak tamat.
Minum air yang cukup membolehkan sistem darah anda berjalan lancar untuk menghantar oksigen ke seluruh tubuh. Apabila aliran darah lancar, mood anda pun akan menjadi lebih baik dan tubuh anda akan lebih sihat sepanjang hari.
Foto: Carian internet
8. Rancang Hari Anda
Tiada hari ini sebelum datangnya semalam. Jadi, pastikan anda bersiap sedia sehari lebih awal tentang rancangan anda esok. Tetapkan waktu bangun pagi. Misalnya bangun awal untuk mandi dan solat subuh. Kemudian bersarapan.
Jika anda berpuasa, tentunya anda perlu tidur lebih awal dan bangun seawal 4.30 pagi. Sebaiknya usah tidur selepas sahur. Bersiaplah untuk solat subuh dan selepas itu jika ada masa, bolehlah anda membaca Al Quran atau bahan bacaan lain sementara menunggu masa untuk ke pejabat.
Demikianlah, 8 solusi yang disarankan untuk anda kekal ceria. Bahkan saya ada lagi satu bonus sempena bulan puasa ini. Tip mudah daripada saya ialah senyum lebar pada semua makhluk kaku.
Senyumlah pada pokok, pada langit, pada kereta yang anda pandu atau pun burung yang sedang terbang. Insya-ALLAH hari anda akan menjadi lebih bermakna!
Salam Hormat,
Liza Ali
[email protected] |
|