Pasukan Saudi dikecam biadap ketika tafakur untuk mangsa keganasan
PETALING JAYA: Beberapa ahli politik Australia membidas pasukan bola sepak Arab Saudi semalam kerana tidak menghormati permintaan agar seluruh stadium berhenti bertafakur selama seminit sebagai tanda penghormatan kepada mangsa yang terkorban dalam serangan keganasan di London baru-baru ini. Ia berlaku di Stadium Adelaide sebelum perlawanan bermula di antara pasukan Saudi dan Australia. Pasukan Australia dilihat berbaris untuk memberikan penghormatan dengan berdiri selama seminit, tetapi pemain Saudi dilihat berlegar di atas padang tanpa menghiraukan pengumuman stadium. Dua warga Australia, Kirsty Boden dan Sara Zelenak, turut terkorban dalam serangan oleh 3 lelaki pada Sabtu lepas di tengah Kota London yang mengorbankan 8 orang. AFP memetik beberapa pegawai pasukan Arab Saudi sebagai berkata amalan bertafakur itu “bukan sebahagian budaya Saudi”. Arab Saudi merupakan negara yang mengamalkan aliran Wahabi, yang antaranya mengharamkan perbuatan bertafakur, berkabung dan berdoa untuk si mati. “Ia kebiadapan bukan sahaja terhadap 2 warga Australia tetapi juga kepada semua mangsa serangan keganasan di London,” kata Ahli Parlimen dari Parti Labor, Anthony Albanese. “Tidak ada alasan. Ini bukan mengenai budaya. Ini mengenai rasa kurang hormat dan bagi saya, ia memalukan.” Senator Derryn Hinch pula menganggap tindakan pasukan Saudi itu satu penghinaan. Ia juga mengundang reaksi marah pengguna Twitter. Persekutuan Bola Sepak Australia berkata ketika dimaklumkan rancangan untuk mengadakan tafakur seminit itu, pasukan Arab Saudi berkata acara itu bercanggah dengan budaya mereka. Menurutnya, pasukan Saudi bersetuju untuk bergerak ke tepi padang bagi memberikan laluan acara itu. Susulan pelbagai kutukan, Persekutuan Bola Sepak Arab Saudi hari ini mengeluarkan permohonan maaf, menyatakan mereka “kesal” tindakan permain mereka sekiranya ia mengguris hati. Perlawanan itu berakhir dengan kemenangan Australia 3-2.
|