Pihak pengurusan Grab Car bertindak menamatkan perkhidmatan dan senaraihitamkan seorang pemandunya yang dikatakan menghina dua orang penumpang warga asing.
Rakaman video tersebut dipercayai dimuat naik oleh pemandu terbabit dan tular secara meluas di laman sosial sejak Selasa lalu sehingga menimbulkan bualan hangat di kalangan pengguna maya.
Memetik laporan Harian Metro, Ketua Grab Malaysia, Sean Goh berkata, selain menawarkan perkhidmatan yang murah dan mudah, pihak Grab Car juga komited memastikan keselamatan penumpang yang memilih perkhidmatan Grab Car.
“Sejak video itu tular, kami mengenal pasti pemandu terbabit dan menyingkirkan dia daripada senarai pemandu serta-merta."
“Sebagai syarikat perkhidmatan pengangkutan dengan rangkaian yang terbesar di Malaysia, kami amat menitikberatkan keselamatan dan keselesaan penumpang,” katanya.
Tambahnya, Grab Car tidak akan bertolak ansur dengan sebarang kegiatan jenayah dan salah laku yang serius oleh pemandu Grab Car.
"Ini kerana ianya bukan sahaja membahayakan penumpang tetapi pada masa yang sama mencemarkan reputasi pemandu lain,” katanya.
Terdahulu, seorang pemandu Grab Car dilihat menghina penumpang warga asing dengan menggunakan perkataan kesat seperti ‘bodoh’ dan 'lahanat' dalam video berdurasi satu minit itu.
Video terbabit menerima pelbagai reaksi netizen yang rata-rata menganggap pemandu itu tidak beradab dan menggesa pihak Grab Car mengambil tindakan ke atas pemandu tersebut.- CARI