|
"Kehidupan saya sekarang sangat struggle berbanding dulu."
Jarang muncul di majlis hiburan kerana jadual kerja yang padat, aktres Izreen Azminda mengakui harus bekerja keras untuk menyara kehidupan sebagai ibu tunggal kepada anaknya, Muhammad Adrian Umar, 4.
“Dulu saya berlakon tanpa sebarang tekanan kerana minat mendahului segala-galanya, namun situasi sekarang menjadi berbeza apabila saya perlu bekerja keras untuk memastikan pendapatan bulanan saya mencukupi untuk menyara anak dan keluarga.
“Jadi saya sangat menghargai setiap peluang yang datang dengan melakukan kerja dengan sehabis baik agar tidak mengecewakan pihak produksi dan juga penonton yang menyokong kerjaya selama ini,” katanya kepada Sinar Harian.
Memetik Sinar Online, Izreen bagaimanapun akui di masa-masa tertentu, dia terpaksa menolak beberapa tawaran kerana skripnya tidak sesuai dengannya selain masalah komitmennya untuk bekerja di luar Kuala Lumpur.
“Alhamdulillah, setakat ini tawaran berlakon masih menyebelahi saya secara konsisten dalam usaha saya meneruskan kesinambungan kerjaya lakonan.
“Namun kadang-kala ada di antaranya yang terpaksa saya tolak kerana skrip yang tidak sesuai termasuk beberapa sebab lain yang tidak dapat dielakkan demi menjaga kualiti kerja saya,” katanya.
Selain tanggungjawab kepada anak, Izreen juga menjaga ibunya yang sedang sakit semenjak beberapa tahun lalu.
“Kehidupan saya sekarang sangat struggle berbanding dulu kerana perlu menggalas tanggungjawab untuk menjaga anak, ibu dan diri saya sendiri juga yang kadang-kala tidak terurus.
“Dulu, ibu akan menjaga anak ketika saya keluar bekerja dan situasi itu sedikit sebanyak membantu meringankan beban saya, namun semenjak dia sakit saya kena uruskan semuanya sendiri termasuk menjaga ibu.
“Disebabkan keadaan itu jugalah saya tidak akan mengambil tawaran berlakon yang memerlukan saya bekerja di luar Lembah Klang kerana tidak boleh meninggalkan mereka di rumah lama-lama,” jelas Izreen.
Foto: IG Izreen Azminda
Semoga Izreen terus tabah menjalani kehidupan dan berjaya dalam apa jua yang diceburi. - CARI |
|