PETALING JAYA: Pengarah Jabatan Kesihatan Selangor, Datuk Dr Zailan Adnan mengesahkan kantin Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) di Klang ditutup atas faktor kebersihan, bukannya kerana rakaman video tikus.
Katanya, kantin itu ditutup setelah pemeriksaan Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) mendapati ia tidak mematuhi piawaian di bawah Peraturan-peraturan Makanan 1985.
“Saya percaya mereka buat pemeriksaan dan mendapati ada merit untuk tutup berdasarkan kebersihan semasa kantin. Bila diperiksa, jika ada yang tidak dipatuhi, nilai markah akan ditolak.
“Secara amnya, nilai itu dilakukan bagi melihat penyelenggaraan kebersihan di premis makanan. Banyak yang kita nilai, sama ada pengusaha kantin dapatkan suntikan atau tidak.
“Adakah pekerja berkenaan memakai apron, penutup kepala atau tidak. Adakah mereka menyimpan makanan di stor tanpa menggunakan alas, sama ada anjing atau kucing berkeliaran, banyak komponennya,” katanya ketika dihubungi FMT hari ini.
Dr Zailan bagaimanapun berkata, penutupan kantin HTAR bukan disebabkan penyebaran sebuah video selama 32 saat yang memaparkan seekor tikus menarik makanan keluar dari bekas di kaunter lauk-pauk.
Beliau juga tidak dapat mengesahkan jika kejadian yang dirakamkan itu berlaku di kantin HTAR.
“Sama ada benar atau tidak, siapa pula yang hendak dapatkan kesahihannya. Namun, apabila tular video yang dikatakan di HTAR Klang, PKD Klang lakukan pemeriksaan di kantin hospital berkenaan.
“Ia bukan ditutup sebab mengesyaki video yang viral itu. Tetapi, kantin HTAR Klang itu ditutup setelah penilaian dilakukan terhadap kantin hospital berkenaan,” katanya.
Dr Zailan berkata, kantin HTAR Klang ditutup selama 2 minggu mulai hari ini sehingga 1 September nanti.
“Apabila kita tutup selama 2 minggu dan sudah bersih, operator kantin akan beritahu kita dan PKD akan masuk ke kantin memeriksa semula sama ada tindakan pembersihan sudah diambil atau tidak.
“Tetapi, ini tidak bermakna apabila sudah dibuka semula, semuanya sudah habis cerita. Saya akan arahkan hospital semak semula rekod operator kantin ini,” katanya.
Beliau berkata, tindakan lanjut akan diambil jika tahap kebersihan masih tidak memuaskan, termasuk menamatkan kontrak pengusaha kantin itu.
“Kontrak selama 2 tahun, jika ada keperluan untuk ambil tindakan lebih lanjut, maka kita akan ambil tindakan. Kita mempunyai hak untuk tamatkan kontrak operator itu jika melanggar syarat kontrak.”