Sudahlah dirogol, didera pula lagi
https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2017/10/271948/sudahlah-dirogol-didera-pula-lagi
Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 11 Oktober 2017 @ 12:22 PM
Hafidzul Hilmi Mohd Noor
[email protected]
Mangsa didera jika melakukan tugas yabg tidak memuaskan hati suspek.
SEORANG remaja perempuan berusia 16 tahun yang tidak lagi bersekolah dirogol dan didera menggunakan kayu, besi paip dan penyangkut baju oleh bapa angkatnya di Kajang sejak Julai lalu.
Ketua Polis Daerah Kajang Asisten Komisioner Ahmad Dzaffir Mohd Yusof berkata, sebelum itu, mangsa dan teman lelakinya dibawa ke Melaka oleh suspek selama beberapa bulan sebelum pulang ke Kajang dan bekerja di kedai besi buruk milik suspek.
"Sejak bekerja di kedai suspek, mangsa dan teman lelakinya sering dipukul dan didera sekiranya melakukan kerja yang tidak memuaskan hati suspek.
"Mangsa juga dirogol beberapa kali oleh suspek," katanya.
Menurutnya, teman lelaki mangsa berjaya melarikan diri bulan lalu sebelum mangsa turut berjaya melarikan diri pada jam 12 tengah hari, 3 Oktober lalu dengan bantuan seorang lelaki yang tidak dikenali.
"Mangsa dibawa ke Hospital Kajang untuk pemeriksaan dan didapati terdapat kesan koyakan lama pada kemaluan mangsa.
"Terdapat juga kesan parut dan luka di telinga kanan, leher, belakang badan dan kaki mangsa dipercayai akibat dipukul," katanya.
Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 376/324 Kanun Keseksaan dan usaha mengesan suspek serta isterinya sedang giat dijalankan.
|