Syarikat gergasi teknologi, Apple sekali lagi melancarkan produk terbaharu iaitu telefon pintar iPhone X, iPhone 8 dan iPhone 8 Plus sejak sebulan yang lalu.
Seperti pelancaran versi terdahulu, telefon pintar keluaran Apple sentiasa mendapat sambutan yang boleh dikatakan "terlajak laris". Bukanlah perkara baru jika peminat tegar produk Apple ini sanggup bermalam atau beratur panjang di hadapan Apple Store seluruh dunia semata-mata untuk menunggu giliran membeli telefon pintar terbaru keluaran syarikat gergasi ini.
Semalam, sebuah video memaparkan orang ramai mula beratur panjang di hadapan Apple Store di Singapura menjadi tular di media sosial.
Menariknya, seorang lelaki daripada ratusan peminat Apple yang "berkampung" di situ merupakan warga Johor Bahru. Lelaki itu yang bernama Hairi sewaktu ditemubual oleh media memberitahu dia telah beratur selama tiga hari semata-mata mahu membeli iPhone X.
Mengakui penat kerana tidak cukup tidur, namun Hairi tetap bersyukur dan berpuas hati kerana beliau dan isteri berjaya menjadi antara yang terawal memiliki telefon pintar keluaran Apple itu.
Kredit video - todayonline
Sesetengah netizen memuji kecekalan Hairi serta mengucapkan tahniah kerana berjaya memiliki iPhone idamannya selepas 3 hari "berkampung" di hadapan Apple Store di negara jiran itu.
Namun seperti biasa pasti ada yang memerli dan mengatakan tindakan Hairi langsung tidak mendatangkan faedah kerana beliau sepatutnya tidak perlu terlalu terburu-buru untuk "berebut" membeli telefon pintar itu.
Apapun pandangan netizen, syabas penulis ucapkan buat saudara Hairi kerana cekal dan sanggup korbankan masa serta tenaga untuk mengembirakan isteri tercinta. Bukan semua suami mampu buat seperti ini, betul tak? - CARI
|