Taktik ‘licik’ pemandu Uber, GrabCar makin berleluasa
14 November 2017 3:00 AM KUALA LUMPUR 13 Nov. – Taktik ‘licik’ pemandu Uber dan GrabCar semakin meluas dalam kalangan mereka semata-mata untuk mendapatkan pelanggan dengan cara lebih mudah dan keuntungan berlipat kali ganda.
Pemandu GrabCar, Mohd. Idris Said (bukan nama sebenar), 30, membe­ritahu taktik mematikan aplikasi GrabCar bertujuan mendapatkan pelanggan dengan lebih mudah dan harga tinggi kerap dilakukan pemandu sejak tahun lalu.
“Ramai pelanggan tidak sedar perkara ini dan ada antara mangsa terpedaya dengan permintaan pemandu yang sengaja meminta bayaran lebih dengan alasan kesesakan jalan raya dan sebagainya,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Mohd. Idris berkata, antara alasan lain mereka mematikan aplikasi tersebut adalah untuk mengelak daripada bayaran Fee GrabCar&Uber yang berjumlah 25 peratus daripada keseluruhan tambang dalam setiap perkhidmatan.
Sementara itu, pemandu Uber, Ali Husin (bukan nama sebenar), 27, mendedahkan bahawa pemandu Uber dan GrabCar sebenarnya melakukan pelbagai taktik licik seperti melalui jalan jauh bagi meningkatkan jumlah tambang.
“Ada antara kami menggunakan kaedah Fake GPS semata-mata untuk mendapatkan pelanggan dengan cara mudah tanpa perlu beratur panjang dalam tempoh lama sehingga empat jam bagi mendapatkan pelanggan se­perti di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA),” katanya.
Sementara itu, Pengurus Besar Kanan Bahagian Penguatkuasaan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD), Datuk Che Hasni Che Ahmad berkata, pihaknya menyedari kewujudan taktik tersebut dan kerap berlaku di kawasan tumpuan seperti di bandar Kuala Lumpur, terminal dan KLIA.
|