Bagai irama dan lagu, Pulau Pinang dan Nasi Kandar memang tak dapat dipisahkan! Pilih saja yang mana suka. Setiap gerai atau restoran mempunyai keistimewaan tersendiri.
Sering kita dengar kalau ke Pulau Pinang, semua orang akan berkata, "tak sah kalau tak makan Nasi Kandar". Ada beratus restoran dan gerai menyajikan Nasi Kandar di sini, sebulan takkan habis mencuba kesemuanya! Selalunya, di mana ada orang beratur, di situlah lauk-pauk 'kandar'nya paling sedap.
Restoran Deen Maju menjadi tumpuan tidak mengira waktu. Orang sanggup beratur di bawah sinar mentari terik atau berpayung di dalam hujan. Begitu taasubnya pengunjung yang tidak mengira bangsa atau agama bertandang ke restoran ini.
Sabar beratur tak kira masa
Memanglah orang beratur panjang tetapi yang bagusnya, servis disediakan sangat pantas. Sambil beratur, kecur air liur dengan bau enak masakan yang terhidang. Tempat makan juga luas dan selesa meskipun terpaksa bersesak kerana pengunjung yang begitu ramai sepanjang waktu.
Jangankan di Deen Maju, di mana-mana restoran nasi kandar, senarionya adalah serupa. Inilah keunikannya yang tersendiri. Suasana riuh menambah keenakan sajian! Begitulah seadanya...!
Semua bangsa bersatu selera
Di Deen Maju, resipi masakannya telah diwarisi sejak 70 tahun lalu. Kini, giliran generasi ketiga pula 'mendunia'. Restoran ini menyediakan lebih 30 jenis lauk-pauk yang boleh dinikmati dengan nasi putih, Nasi Tomato atau Nasi Dalca.
Yang paling istimewa tentulah Sambal Nyiok Berpudina dan Ayam Goreng Berempah. Jangan risau, ayam yang diperap dengan rempah ratus resipi rahsia ini sentiasa digoreng kerana ia laku keras! Jadi, anda akan dapat menikmati ayam goreng yang panas sepanjang masa.
Resipi lauk-pauk diwarisi turun-temurun
Suka kambing? Jangan lupa nikmati Gulai Kambing Berkentang. Atau suka Telur Sotong Berkunyit, Ayam Berkuah dan Daging Kicap? Semuanya sedap. Ditambah dengan 'kuah campur' yang begitu menyelerakan sehingga tak sedar anda sedang menjilat jari. Deen Maju memastikan lauk-pauk segar dari mula dibuka pada jam 2.30 petang sehingga jam 11 malam.
Tiada kata dapat menggambarkan keenakkannya
Tunggu apa lagi? Kalau ke Pulau Pinang nanti, singgahlah di Deen Maju. Memang berbaloi menunggu! Sedap teramat sehinggakan orang makan nasi kandar tak kira waktu. Tengah hari, petang, senja atau malam, boleh dikatakan setiap masa lah!
Jangan kata saya tak bagi amaran. Beratur panjang lebih cepat daripada beratur pendek dan servis lambat.
Alamat: 170, Jalan Gurdwara, 10300 Georgetown, Pulau Pinang. - CARI
|