Apa yang menarik sangat di Kota London tu hinggakan ramai betul rakyat Malaysia berpusu-pusu ke sana?
Sampai ada yang mendakwa “Takkan Melayu Hilang di London”. Amboi sampai macam tu sekali ya?
Kota London sememangnya menawarkan pelbagai pengalaman menarik. Anda tak akan bosan sekiranya berkunjung ke London kerana banyak aktiviti boleh dilakukan di sini.
Jom tinjau antara tempat-tempat menarik yang perlu anda kunjungi jika berpeluang mengunjungi London.
Borough Market
Pasar tertua di London ni wajib lawat ok! Ia dibuka setiap hari pada pukul 10 pagi. Pada hari Sabtu ia dibuka lebih awal iaitu pada pukul 8 pagi. Anda boleh memulakan hari anda di Kota London dengan bersarapan di sini. Terdapat sebuah kedai kopi terkenal iaitu Monmouth Café. Jadi bolehlah bersarapan di sini terlebih dahulu!
Camden Town
Ini merupakan tempat kegemaran mereka yang berjiwa bebas dan mengamalkan gaya hidup alternatif. Selain medan selera yang menawarkan makanan dari pelbagai negara, anda boleh membeli muzik rekod, cenderamata dan pelbagai barangan unik yang lain di sini.
Oxford Street
Oxford Street boleh digelar sebagai syurga membeli-belah London. Jenama-jenama fesyen yang popular seperti UNIQLO, Primark dan H&M antara yang ada di sini. Ia merupakan satu tarikan pelancong yang sentiasa dikerumuni orang ramai yang ingin mendapatkan pakaian yang bergaya dan seiring dengan perkembangan fesyen masa kini. Harganya, tentulah lebih murah jika dibanding dengan Malaysia terutamanya di Primark. Rakyat Malaysia kalau ke London memang tak sah, mesti memborong di Primark!
Platform 9 3/4
Jika anda peminat penulis JK Rowling dan tak pernah ketinggalan menonton filem Harry Potter, anda perlu datang ke sini. Platform9 ¾ terletak di Stesen Keretapi King Cross. Platform ini menggunakan props yang diambil dari filem terkenal, Harry Porter. Para pengunjung boleh menggayakan skaf Gryffindor, Slytherin atau Ravenclaw dan seterusnya bergaya mengikut kreativiti masing-masing.
 Foto: Malaymail
Serius seronok, rasai sendiri pengalaman di sini. Jom terbang ke Kota London. -CARI |