Tisu Najis Panda RM26 Sekotak
http://www.mstar.com.my/berita/berita-dunia/2017/12/21/tisu-panda/
Diterbitkan: Khamis, 21 Disember 2017 10:30 AM
SICHUAN: Jika sebelum ini tersebar mengenai teh panda, tetapi kali ini inovasi daripada najis haiwan ini mampu menghasilkan tisu bertaraf mewah.
Tisu Panda Poo dijual dengan harga 43 yuan (RM26.46) sekotak, 10 kali ganda dari harga tisu biasa.
Selain diproses dari najis panda, tisu Panda Poo tersebut juga menggunakan lebihan buluh yang dikumpul dari tiga pusat pemeliharaan panda di Sichuan.
Menurut South China Morning Post (SCMP), produk berkenaan merupakan hasil kerjasama diantara Pusat Penyelidikan dan Pemeliharaan Panda Gergasi dan syarikat tisu Sichuan Jianwei Fengsheng.
Harga tisu yang mahal itu didakwa kerana proses penghasilannya yang rumit, antaranya proses mendedahkan bahan terlibat pada suhu yang tinggi.
"Kami pastikan tisu-tisu berkenaan mencapai piawaian antarabangsa, Amerika Syarikat dan Kesatuan Eropah," kata Pengurus Sichuan Jianwei Fengsheng, Zhou Chuanping.
Seekor panda gergasi mampu menghasilkan lebih 10 kilogram najis setiap hari, kata penyelidik, Huang Yan.
Sebuah pusat panda pula memelihara lebih 300 ekor panda di Wolong, Bifengxia dan Dujiangyan.
Selain tisu, najis panda yang kaya dengan serat juga digunakan sebagai baja di ladang-ladang teh di Sichuan.
Ladang-ladang teh tersebut bertanggungjawab menghasilkan Teh Panda yang merupakan salah satu jenama teh termahal di dunia. |