CARI Infonet

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 3917|Reply: 0

Kalendar Sukan Atlet Negara 2018

[Copy link]
Post time 5-1-2018 10:25 PM | Show all posts |Read mode

Tahun 2018 bakal menjadi tahun yang sibuk buat atlet-atlet sukan negara apabila bakal menghadapi jadual yang padat dengan beberapa kejohanan besar telah pun dijadualkan. Berikut kami senaraikan antara kejohanan-kejohanan utama yang bakal dihadapi oleh atlet-atlet negara.

Kejohanan Piala AFC Bawah 23 Tahun

Kalendar sukan negara bakal dimulakan dengan Kejohanan Piala AFC Bawah 23 Tahun yang bakal berlangsung di Changsu, China bermula pada 9 sehingga 27 Januari 2018. Buat masa  ini, anak-anak buah Datuk Ong Kim Swee telah pun tiba di China untuk menghadapi sesi latihan pusat dan beberapa siri perlawanan persahabatan.

Sebelum ini, skuad bawah 23 tahun negara ini telah melakukan latihan pusat di Mokpo, Korea Selatan dan berdepan tiga perlawanan ujian berdepan dengan kelab tempatan yang menyaksikan mereka seri 1-1 dengan Mokpo City FC pada 20 Disember (jaringan Syamer Kutty Abba), menewaskan Honam University 1-0 pada 22 Disember (jaringan Kogileswaran Raj) dan seri 1-1 dengan Jeonju Citizen FC pada 28 Disember (jaringan Safawi Rasid).

Skuad Harimau Muda bakal memulakan cabaran dalam Kejohanan Piala AFC Bawah 23 Tahun apabila dijadual menentang Iraq pada 10 Januari. Perlawanan seterusnya bakal dihadapi menentang Jordan dan Arab Saudi pada 13 dan 16 Januari.

Sekiranya berjaya melepasi peringkat kumpulan, skuad harimau muda akan layak ke peringkatb suku akhir yang dijadualkan pada 20 Januari manakala peringkat separuh akhir dan akhir bakal berlangsung pada 23 dan 27 Januari.

Kejohanan Futsal AFC 2018

Skuad Futsal negara berjaya melayakkan diri ke Kejohanan Futsal AFC 2018 setelah bergelar naib juara dalam pusingan kelayakan Zon ASEAN dibelakang Thailand. Dalam pusingan kelayakan yang berlangsung di Ho Chi Minh, Vietnam pada Oktober 2017, skuad negara hanya tewas sekali di tangan Thailand dengan keputusan 3-6. Dua kemenangan dicatatkan skuad negara keatas Timor Leste dan Laos dengan jaringan 7-2 dan 6-3.

Kejohanan ini bakal bermula pada 1 Febuari dan bakal berakhir padaa 11 Febuari 2018. Malaysia diundi satu kumpulan dengan pasukan tuan rumah Chinese Taipei selain Vietnam dan Bahrain dalam kumpulan A.

Malaysia bakal memulakan kempen tersebut bertemu Vietnam pada 1 Febuari sebelum bertemu pasukan tuan rumah pada 3 Febuari dan seterusnya bertemu Bahrain pada 5 Febuari. Anak-anak buah  Chiew Chun Yong dilihat lebih berpeluang untuk layak ke peringkat suku akhir yang dijadualkan pada 8 Febuari sebelum aksi separuh akhir dan akhir pada 9 dan 11 Febuari 2018.

Kejohanan Badminton Berpasukan Asia

Kejohanan Badminton Berpasukan Asia bakal bermula pada 6 sehingga 12 Febuari 2017 dan bakal menyaksikan Malaysia sebagai tuan rumah. Kejohanan yang membariskan 15 pasukan lelaki dan 13 pasukan wanita ini akan berlangsung di Alor Setar.

Selain untuk menentukan juara Asia, kejohanan ini juga berperanan untuk menentukan pasukan yang bakal layak ke Kejohanan Piala Thomas & Uber nanti. Empat pasukan terbaik iaitu yang berjaya melayakkan diri ke peringkat separuh akhir akan layak secara automatik ke Piala Thomas & Uber May nanti.

Kejohanan Berbasikal Trek Dunia 2018

Pelumba negara, Azizulhasni Awang yang muncul Raja Acara Keirin selepas memenangi pingat emas di Kejohanan Berbasikal Trek  Dunia tahun lalu pastinya akan berusaha mempertahankan kejuaraan dalam acara kegemaran beliau tersebut. Kejayaan tahun lalu itu melayakkan beliau menyarung jersi pelangi selaku juara dunia.

Pelumba yang bergelar ‘The Pocketrocket Man’ itu merupakan atlet pertama negara memenangi emas di kejohanan trek dunia. Untuk kejohanan tahun ini, ianya bakal berlangsung di Apeldoorn, Belanda pada 28 Febuari sehingga 4 Mac 2018.

Piala Sultan Azlan Shah 2018

Kejohanan jemputan buat skuad hoki negara ini bakal disertai tujuh pasukan handalan dunia yang telah mengesahkan penyertaan. Tujuh pasukan tersebut adalah Australia, Argentina, India, England, Ireland, Pakistan dan skuad kebangsaan Malaysia selaku tuan rumah.

Anak-anak buah Stephen Vai Huizen bakal menghadapi saingan daripada pasukan-pasukan yang mempunyai ranking lebih baik. Diantara tujuh pasukan tersebut Malaysia menduduki ranking kedua tercorot di atas Pakistan yang menduduki ranking ke-13 dunia.  Kejohanan ini pastinya menjadi platform terbaik buat skuad negara bagi menghadapi Sukan Komanwel, Sukan Asia dan Piala Dunia yang juga berlangsung pada tahun yang sama.

Piala Sultan Azlan Shah bakal bermula pada 2 sehingga 11 Mac 2018 dan bakal berlangsung di Stadium Hoki, Ipoh. Untuk rekod, pencapaian terbaik Malaysia dalam Kejohanan Piala Sultan Azlan Shah ini adalah apabila bergelar naib juara sebanyak lima kali. Pada edisi tahun lalu, skuad negara sekadar berkedudukan tempat kelima.

Sukan Komanwel 2018

Temasya sukan yang melibatkan negara-negara bekas jajahan British ini ini diadakan empat tahun sekali. Untuk edisi 2018 yang juga merupakan edisi ke-21 temasya ini, ianya akan dilangsungkan di Gold Coast, Australia bermula 4 April dan kemuncaknya pada 15 April.

Untuk edisi yang lalu di Glasgow, Scotland pada tahu 2014, Malaysia diwakili 180 orang atlet yang menyertai 15 daripada 18 sukan yang dipertandingkan. Kontinjen negara menamatkan saingan di tempat ke-12 dengan memenangi 7 pingat emas, 7 perak dan 6 gangsa.

Pencapaian terbaik kontinjen negara dalam Sukan Komanwel ini adalah pada edisi ke-16 dimana Kuala Lumpur menjadi tuan rumah temasya tersebut. Malaysia menduduki tangga ke-4 daripada 70 negara bertanding dengan merangkul 10 pingat emas, 14 perak dan 12 gangsa.

Pastinya kejohanan kali ini menjadi medan terbaik untuk atlet negara yang telah melakukan persediaan dengan adanya platform seperti ‘Program Podium’ yang diatur Majlis Sukan Negara (MSN)

Kejohanan Ragbi Asia

Malaysia kini berkedudukan ke-47 du-nia dan No. 5 di benua Asia sekali gus menjadi pencapaian terbaik kepada pasukan 15 sepasukan negara (15s) pada musim ini. Kejayaan utama yang diraih pasukan ragbi negara ialah mengungguli Kejohanan Ragbi Asia (ARC) Divisyen Satu sekali gus melayakkan pasukan 15s beraksi dalam perlawanan Liga Perdana ARC musim ini.

Kejayaan tersebut juga memastikan skuad negara akan beraksi dalam kempen kelayakan Piala Dunia 2019 dan mereka perlu mengharungi saingan dengan membabitkan perlawanan menentang Hong Kong dan Korea Selatan terlebih dahulu.

Dalam kejohanan ini, Malaysia akan mengharungi empat perlawanan – dua di gelanggang sendiri (28 April & 5 Mei) dan dua lagi di laman lawan (12 Mei dan 19 Mei).Pemenang pertemuan ini seterusnya akan mara ke pusingan repecharge kelayakan Piala Dunia.

Piala Thomas & Uber

Piala Thomas & Uber yang merupakan kejohanan badminton berpasukan yang terbesar di dunia bakal berlangsung di Bangkok, Thailand bermula 20 sehingga 27 May 2018. Walaubagaimanapun skuad badminton negara perlu menjadi empat pasukan terbaik dengan melayakkan diri ke peringkat separuh akhir dalam Kejohanan Badminton Berpasukan Asia yang bakal berlangsung terlebih dahulu pada 6 hingga 12 Febuari 2018.

Malaysia berhadapan risiko tidak layak buat kali pertama kejohanan berprestij ini apabila bakal menghadapi pemain-pemain dari China, Korea Selatan, Indonesia dan Jepun yang mempunyai ranking lebih tinggi daripada pemain-pemain negara. Diharapkan skuad negara dapat melakukan kejutan dalam psuingan kelayakan.

Kejohanan Piala Dunia Dodgeball 2018

Mungkin ramai yang tidak mengetahui berkenaan sukan ini. Pasukan Dodgeball Malaysia bakal menyertai Piala Dunia Dodgeball yang bakal berlangsung di New York dan bermula pada Ogos 2018.

Malaysia layak dalam kesemua tiga kategori yang dipertandingkan iaitu Lelaki, Wanita dan Campuran. Malaysia layak ke kejohanan ini apabila menjuarai ketiga-tiga kategori dalam Kejohanan Dodgeball Asia Pasifik yang berlangsung di Axiata Arena 29 September hingga 1 Oktober 2017 yang lalu.

Untuk rekod, pasukan lelaki negara merupakan naib juara Piala Dunia pada edisi 2016 yang berlangsung di Manchester.

Sukan Asia 2018

Kejohanan sukan terbesar di Asia ini bakal berlangsung di Jakarta dan Palembang, Indonesia bermula 18 Ogos hingga 2 September 2018. Beberapa acara sukan mempunyai misi untuk mendapatkan kejuaraan terutamanya sukan hoki. Hoki perlu memenangi pingat bagi melayakkan skuad hoki negara mendapatkan slot automatik untuk beraksi di Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Pada edisi yang lalu di Incheon Korea, Malaysia mengutip 5 pingat emas, 14 perak dan 14 gangsa untuk menduduki tangga ke-14 keseluruhan. Program Podium anjuran MSN pastinya memberi latihan dan persediaan secukupnya buat atlet negara dalam menghadapi temasya sukan terbesar asia ini.

Piala AFF Suzuki 2018

Setelah gagal layak ke Piala AFC 2018, skuad bolasepak negara berhadapan misi di kejohanan serantau dalam Piala AFF Suzuki 2018. Pastinya kejohanan ini bakal menjadi kayu ukuran buat Tan Cheng Hoe selaku jurulatih baru Harimau Malaya.

Setelah perletakan jawatan Nelo Vingada, Tan Cheng Hoe dinaikkan pangkat sebagai pengemudi baharu Harimau Malaya dan pastinya beliau menghadapi tugas besar untuk mengembalikan imej bola sepak negara. dalam kejohanan yang bakal berlangsung pada 8 November hingga 15 Disember 2018.

Piala Dunia Hoki 2018

Kemuncak kalendar sukan 2018 bakal ditutup oleh skuad hoki negara yang bakal menghadapi saingan Piala Dunia bermula 28 November hingga 16 Disember ini di Bhubaneswar, India.

Skuad “The Speedy Tigers” layak secara merit selepas Liga Hoki Dunia yang berlangsung di London pada 15-25 Jun 2017 lalu. Kejayaan ini menyemarakkan semangat anak-anak buah Stephen Van Huizen yang mempunyai banyak masa untuk memperkuatkan pasukan. Beberapa kejohanan di awal tahun ini bakal menjadi persediaan terbaik skuad hoki negara dalam Piala Dunia nanti.

Walaubagaimanapun kem hoki negara berdepan kemungkinan turun tanpa penjaga gol berpengalaman yang juga pernah dinobatkan penjaga gol terbaik Asia, S. Kumar. Ini adalah kerana Kumar sebelum ini positif sibutramine dalam ujuian doping di Kejohanan Hoki Hero Piala Asia 2017 yang berlangsung di Bangladesh.

sumber : thesportivo.com


Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CARI Infonet

20-4-2024 08:20 PM GMT+8 , Processed in 0.269145 second(s), 27 queries .

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list