Pemuda Pakatan Harapan (HARAPAN) akan menghantar jemputan debat kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dalam minggu ini.
Menurut ketuanya, Nik Nazmi Nik Ahmad, jemputan itu bertujuan agar satu debat terbuka dapat diadakan di antara Najib selaku pengerusi BN dengan Pengerusi HARAPAN Tun Dr Mahathir Mohamad.
Nik Nazmi berkata, memandangkan pilihan raya umum semakin hampir, rakyat mahu lihat apakah dasar yang ditawarkan oleh kedua-dua pihak, BN dan juga HARAPAN.
Justeru, beliau berkata, sekiranya debat antara perdana menteri dan calon perdana menteri HARAPAN itu diadakan, ia akan memberi ruang kepada rakyat untuk membuat penilaian.
"Tun M (Dr Mahathir) telah dicalonkan HARAPAN selaku perdana menteri jadi mereka berdebat atas kapasiti antara dua perdana menteri.
"Kita percaya rakyat mahu lihat apa dasar yang ditawarkan BN dan HARAPAN. Dan dengan debat ini, kita boleh bandingkan antara dua dasar," katanya pada sidang media di Petaling Jaya hari ini.
Ketika ditanya tarikh anjuran debat itu, Nik Nazmi bagaimanapun berkata perkara itu akan diputuskan selepas Najib yang juga presiden Umno menerima jemputan berkenaan.
"Bila dia (Najib) terima baru kita akan tetapkan tarikh. Pada bila-bila masa.
"Dia dakwa negara ini adalah negara demokrasi yang terbaik dalam dunia. Jadi dia tak patut takut untuk berdebat," kata Nik Nazmi yang turut meminta agar RTM menyiarkan secara langsung debat berkenaan sekiranya ia menjadi kenyataan.
Pada tahun lalu, Pemuda Parti Bersatu Malaysia (Armada BERSATU) pernah menjemput Najib untuk menhadiri program Nothing To Hide 2.0 di Shah Alam.