|
Dalam kekalutan ingin melarikan diri daripada serbuan Jabatan Imigresen Malaysia Kedah, pelayan pelanggan (GRO) warga Thailand tidak menyedari tersalah masuk ke dalam sebuah Perodua Kembara milik anggota jabatan berkenaan.
Harian Metro melaporkan, wanita lingkungan usia 20-an itu bertindak melarikan diri sejurus kafe di Sungai Petani diserbu penguat kuasa imigresen.
Melihat kenderaan itu mengekorinya dari belakang, wanita itu nekad melompat masuk ke dalamnya dengan harapan dapat menumpang untuk meloloskan diri.
Malang nasibnya, sangkaannya itu meleset apabila kenderaan berkenaan sebenarnya milik anggota yang tidak diletakkan logo imigresen.
Selain wanita itu, 17 GRO lain turut ditahan dalam serbuan di dua premis pusat hiburan berasingan dalam serbuan Op Gegar di Sungai Petani dan Kulim, bermula jam 12 tengah malam, kata Pengarah Imigresen negeri Zuhair Jamaludin.
Foto: Harian Metro
Kesemua mereka merupakan warga Thailand dan Laos berusia antara 23 hingga 40 tahun ditahan kerana melanggar syarat pas lawatan sosial untuk bekerja di premis hiburan.
“Di lokasi pertama di Jalan Pondok Labu, Kulim, lapan wanita warga Thailand dicekup ketika leka berhibur sambil melayan pelanggan masing-masing tanpa menyedari kehadiran penguat kuasa imigresen.
“Kemudian, di lokasi kedua di Sungai Petani, kami menahan lapan wanita warga Thailand dan dua wanita warga Laos apabila tiga daripada mereka cuba melarikan diri melalui pintu belakang sehingga mencederakan diri sendiri akibat terjatuh,” katanya.
Mereka akan disiasat mengikut Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963. - CARI |
|