|
Seorang wanita cedera dibelasah, gara-gara menggunakan telefon suaminya sehingga kehabisan kredit prabayar.
Kejadian yang berlaku berhampiran pondok sawah padi di Long Tabing, Tinjar, Miri awal bulan lalu itu menyaksikan suspek berang kredit prabayarnya habis dan meminta mangsa menggantikannya semula.
Suspek berusia 29 tahun itu kemudiannya ditahan polis selepas mangsa membuat laporan polis di Balai Polis Beluru baru-baru ini.
Ketua Polis Daerah Marudi Deputi Superintendan Gabriel Risut berkata, ketika kejadian, mangsa ada bersama suspek di pondok berkenaan sebelum meminta telefon bimbitnya bagi menghubungi saudaranya.
Gambar Hiasan
"Suspek berang apabila mendapati kredit prabayarnya habis dan meminta mangsa menggantikan kredit prabayarnya itu semula," katanya.
walau bagaimanapun, mangsa tidak mengendahkan permintaan suspek dan terus ke sungai berhampiran untuk membersihkan diri.
"Bagaimanapun, suspek terus masuk ke dalam sungai dan membelasah mangsa dengan menumbuk di bahagian mata, peha dan pinggang mangsa," tambahnya.
Kejadian ini bukan kali pertama kerana sebelum ini mangsa juga sering dipukul disebabkan hal remeh. Kes disiasat mengikut 323 Kanun Keseksaan. -CARI |
|