Sebut sahaja keindahan di bumi Jepun, pasti semua terbayang bunga Sakura di Tokyo, Osaka atau Kyoto, kan? Musim sakura tiba awal di Fukuoka berbanding kota raya lain di Jepun. Apa kata kali ini kita 'jalan-jalan' di wilayah Fukuoka pula?
Walaupun kurang mendapat tumpuan pelancong, lokasi ini tetap ada keunikannya tersendiri. Kereta api laju (bullet train Shinkansen) dari Tokyo ke Fukuoka mengambil masa selama 5 jam. Memetik bolg Home Away, musim sakura di sini bermula dari lewat Mac sehingga awal April. Jom tengok rimbunan sakura di sini!
Taman Nishi
Terpukau dengan pemandangan kuntuman sakura yang mekar
Dengan pemandangan indah, Teluk Hakata dinobatkan sebagai salah satu lokasi terpilih dalam senarai Japan’s Top 100 Cherry Blossom Spots dan pemilihan itu memang sesuai sangat. Di sini terdapat 1,300 jenis pokok ceri pelbagai spesis – weeping cherry, Oshima cherry, dan mountain cherry.
Taman Maizuru
Musim bunga atau spring yang mengiringi kehadiran sakura
Ia memiliki hampir 1,000 pokok Yoshino dan weeping cherry yang sarat dengan kuntuman bunga. Inilah antara taman terbaik untuk melihat bunga sakura di Fukuoka. Taman ini menawarkan pengalaman melihat sakura yang unik dengan latar belakang sejarah kerana di sini terdapat runtuhan Istana Fukuoka.
Istana Kokura
Kecantikan sakura berlatar istana zaman silam
Asalnya dibina pada 1602, istana ini dibina semula pada 1959 setelah ia dimusnahkan oleh kebakaran. Kawasan sekitar istana dikenali sebagai Taman Katsuyama, sebuah kawasan terkenal dengan bunga sakura. Kokura Castle Sakura Festival ke-14 akan diadakan dari 31 Mac hingga 1 April, 2018.
Kuil Dazaifu Tenmangu
Sakura juga adalah pokok ceri berbunga
Secara amnya, apabila sakura muncul di sini, kuntuman bunga buah plum mulai berkurangan. Tetapi, jika musim dingin terlalu sejuk, bunga plum mekar agak lewat. Jadi, sekiranya anda bernasib baik, anda boleh melihat bunga plum dan bunga ceri mekar serentak. Inilah keajaiban yang mempesonakan!
Taman Amagi
Kecantikan bunga sakura memukau pandangan
Taman yang luas ini amat popular di kalangan penduduk tempatan untuk menikmati sakura dalam suasana yang nyaman dan semulajadi. Di taman itu terdapat 4,000 pokok ceri. Kebanyakannya telah ditanam di sekeliling Kolam Sakura yang terletak di tengah-tengah taman.
Memang keindahan bunga sakura tak dapat disangkal lagi. Kena kumpul duit kalau nak pergi Jepun tengok sendiri. Ia pasti akan menjadi pengalaman yang mengasyikkan! - CARI
|