Umum maklum dengan ketegangan yang berlaku di antara Korea Utara dan Korea Selatan. Namun, oleh kerana minat yang sama dalam aliran muzik, beberapa artis Korea Selatan telah dijemput ke Korea Utara untuk membuat persembahan di East Pyongyang Grand Theater dan Pyongyang Arena dari 31 Mac hingga 3 April ini.
Foto: Yonhap News
Barisan artis yang dijemput ialah Seohyun, bekas ahli kumpulan Girls Generation, penyanyi solo Baek Ji Young, ALI, Cho Yong Pil, Lee Sun Hee, Yoon Do Hyun, Jung In, Yoon Sang, dan sudah tentu kumpulan popular dari SM Entertainment, Red Velvet.
Foto: Yonhap News
Menurut Yonhap News, Kim Jong Un dan isterinya menghadiri acara kesenian itu pada Ahad, menjadikannya pemimpin Korea Utara yang pertama menghadiri persembahan dari Korea Selatan.
Pada mulanya, Kim Jong Un tidak akan muncul ke majlis meraikan dua negara itu sehingga Selasa. Bagaimanapun, beliau merasakan bahawa menghadiri persembahan yang diadakan oleh artis-artis Korea Selatan akan menjadi lebih bermakna dan memutuskan untuk membuat perubahan pada jadualnya.
Foto: Sky News
"Orang ramai berminat nak tahu sama ada saya akan menonton (kumpulan gadis Korea Selatan) Red Velvet. Pada mulanya, saya bercadang untuk melawat pada keesokan harinya, tetapi saya memutuskan untuk mengubah jadual supaya dapat datang hari ini," katanya seperti dipetik daripada Yonhap News.
Sementara itu, majlis berkenaan dirancang untuk berlangsung pada jam 5:30 petang, tetapi disebabkan berita mengejut mengenai kehadiran Kim Jong Un, ia tertangguh sejam kemudian. - CARI |