PENYANYI Zizi Kirana mengakui menerima banyak 'lamaran' daripada lelaki tidak dikenali di Instagram yang menyatakan hasrat ingin menjadikannya isteri.
Bagaimanapun, Zizi, 33, berkata, dia hanya menganggap hal itu sebagai usikan nakal peminat.
Malah, penyanyi lagu Nak Ke Tak Nak ini juga terkejut apabila penyanyi rap iaitu Caprice memuat naik keratan artikel mengenai perkara tersebut di laman Instagram.
"Saya akui ramai yang hantar mesej peribadi kata mereka mampu memenuhi syarat tersebut. Saya baca semuanya dan kalau rajin saya balas komen-komen mereka.
"Tentang Caprice pula, saya anggap dia bergurau dan mungkin dia pun mahu promosi aplikasi Mengaji.Com dan saya okay sahaja.
"Secara peribadi, saya mengagumi Caprice kerana dia merupakan idola ramai remaja dan seorang yang bernas dalam berkata-kata," katanya kepada mStar Online
Sebelum ini, menerusi laporan portal ini bertarikh 23 Mac, bekas vokalis kumpulan The Fabulous Cat itu menyenaraikan 14 kriteria perlu dipenuhi oleh mana-mana lelaki yang berhajat memikatnya.
Menerusi InstaStory, dia memuat naik senarai kriteria calon antaranya bakal suami mestilah mempunyai pendapatan minimum RM5,000 selain bebas daripada bebanan hutang.
Dalam senarai sama, Zizi juga mencari calon yang lancar membaca Al-Quran selain bukan kaki mabuk dan sosial serta tidak mengamalkan pergaulan bebas.
Perkongsian Zizi itu turut menarik perhatian Caprice yang memuat naik keratan artikel di Instagram dengan kapsyen mencuit hati netizen.