Izzue atau nama lengkapnya, Muhammad Izzul Islam Mazlan, 27, turut berasa terkilan terhadap tindakan pihak penganjur yang tidak meletakkan nama jenama pakaian miliknya, Izzuexclusive pada setiap poster, video (promosi) dan tentatif program.
Kata Izzue menerusi video yang dimuat naik menerusi akaun Instagram miliknya, jenamanya itu seakan disabotaj dan tidak diberi perhatian.
“Aku jenama ketiga yang keluar dan turut membuat persembahan. Sekeping gambar penekanan (highlight) jenama aku turut tidak diberikan.
“Kalau tidak kenal aku, tidak jadi masalah. Tetapi tidak masuk akal kalau tidak kenal jenama aku. Sebumbung kot masbro!.
“Kata kerjasama, tetapi aku rasa kau sudah rosakkan jenama aku. Kau tidak hormat aku dan usaha jenama aku lakukan untuk kau,” ujar pelakon drama rantaian Sebenarnya Saya Isteri Dia itu di Instagram.
Dalam pada itu, pelantun lagu Bimbang itu juga terkilan apabila usahanya terlibat dalam acara tersebut tidak dihargai selain tindakan penganjur yang dilihat seakan pilih kasih antara selebriti.
“Sumpah aku terkilan dan rasa sia-sia. Apa pun terima kasih kepada model yang sarung Izzuexclusive. Maaf kerana gambar kalian tiada dalam Instagram mereka.
“Mungkin kerana tidak suka tetapi aku suka. Terima kasih yang datang memberi sokongan. Aku rasa kecewa sekarang kerana diperlakukan sebegitu,” tambahnya lagi.
Difahamkan, Izzue yang masih belum menandatangani sebarang perjanjian kontrak dengan pihak penganjur berkenaan merancang untuk menarik diri daripada menjalinkan kerjasama dengan penganjur terbabit.
Baru-baru ini, Izzue bersama 14 artis popular tanah air terlibat dalam acara pertunjukan fesyen pelancaran butik Starvilion yang diadakan di Royale Palace di sini.
Bagaimanpun, video mengenai ketidakpuashatian tersebut telah dipadam oleh Izzue sekitar pukul 2 petang tadi. - K! ONLINE