Kalau tidak mahu dilahar sepedas-pedasnya oleh Chef Wan, janganlah buat sesuatu yang boleh membangkitkan kemarahannya. Kalau tidak, tunggu sahajalah peluru berpandunya dilepaskan di laman Instagram (IG).
Foto: Berita Premium/Reuters
Chef selebriti itu juga sering membuat kemas kini berhubung isu politik terutama selepas kemenangan Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan raya Umum ke-14 (PRU14).
Malah, Chef Wan atau nama sebenarnya Datuk Redzuawan Ismail tidak terkecuali membincangkan isu barangan rampasan yang dipercayai mempunyai kaitan dengan bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak bagi siasatan kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
"Seram baca... Pandai pula sorok dekat rumah kawan di Pavillion tu. Menabung kepala otak depa la," tulisnya.
Menerusi penulisannya itu, Chef Wan mendakwa kemewahan dipamerkan Najib dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor tidak masuk akal.
Memetik laporan BERNAMA, Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Bukit Aman selesai mengira semua wang yang dirampas dari unit kondominium Pavilion Residences di Jalan Raja Chulan, minggu lepas yang dipercayai bernilai lebih RM110 juta.
Sementara itu, Chef Wan juga sempat memuji sifat bersederhana ditunjukkan isteri Perdana Menteri Malaysia, Tun Siti Hasmah.
"Balik-balik, rantai mutiara itulah yang dia pakai," katanya.
Foto: FB Kelab Che Det
Ramai juga pengikutnya bersetuju dengan kenyataan Chef Wan itu. Bagaimana pula dengan anda? - CARI
|