|
Peniaga kuih tradisional Kelantan, Rozita Abdul Manaf memasak kuih Nekbat dari adunan tepung gandum dan telur dibakar menggunakan dapur arang ketika ditemui di Kampung Tujoh. - Foto Nik Abdullah Nik Omar
TUMPAT: Sejak 16 tahun lalu, seorang peniaga dan pembuat nekbat di Kampung Tujoh, di sini, akan menghasilkan purata 1,800 biji kuih tradisional itu setiap hari sepanjang Ramadan.
Rozita Abdul Manaf, 42, berkata sebaik selesai bersahur, beliau akan memulakan proses menghasilkan nekbat di sebuah bangsal di luar rumahnya.
"Proses pembuatan nekbat sangat ringkas dan tidak rumit, sama seperti membuat kuih akok. Cuma, nekbat tidak menggunakan telur yang banyak dan untuk menghasilkan 1,800 biji, hanya 150 butir telur digunakan.
"Selepas bersahur kira-kira jam 5.30 pagi, saya akan mula membuat adunan kuih nekbat sebelum dibakar dalam acuan menggunakan sabut kelapa dan siap dua jam kemudian," katanya.
Kuih nekbat merupakan sejenis kuih tradisional Kelantan dijadikan pembasuh mulut yang diperbuat daripada tepung gandum dan telur siap dibakar dijual dengan harga RM2 untuk tujuh biji manakala RM20 untuk 100 biji kepada peraih oleh peniaga Rozita Abdul Manaf di Kampung Tujoh. - Foto Nik Abdullah Nik Omar
Katanya, kuih nekbat dibuat menggunakan tiga bahan asas, iaitu tepung gandum, telur dan pewarna oren serta merah, dan hanya perlu dibakar dalam acuan kira-kira dua minit.
Beliau berkata, juadah itu yang dihasilkan dalam bentuk bunga dan belimbing, dijual sama ada sudah disira mahupun mentah serta boleh tahan tiga hari.
Walaupun menghadapi persaingan dari negara jiran, Rozita berkata, masih ramai pembeli dan peraih yang melanggan nekbat dihasilkannya.
Katanya, beliau dibantu anak ketiga, Nor Shahirah Mokhtar, 18, yang membawa kuih nekbat siap dibungkus dalam plastik besar, dengan menaiki motosikal roda tiga untuk dijual di Pasar Geting, di sini.
Kuih Nekbat dari adunan tepung gandum dan telur dibakar menggunakan dapur arang oleh peniaga Rozita Abdul Manaf ketika ditemui di Kampung Tujoh. - Foto Nik Abdullah Nik Omar
"Kuih nekbat yang mentah dijual kepada pembeli pada harga RM2 untuk tujuh biji, manakala peraih pula RM20 bagi 100 biji.
"Purata pendapatan diperoleh hasil jualan kuih nekbat ialah RM100 sehari dan ia sudah memadai untuk menampung perbelanjaan membuat persiapan Aidilfitri," katanya yang turut membuat pelbagai kuih tradisional lain pada hari biasa.
|
This post contains more resources
You have to Login for download or view attachment(s). No Account? Register
x
|