|
KEMAMAN - Memualkan! Itu keadaan sebuah restoran yang diarah tutup serta-merta selepas didapati bahan mentah disimpan atas lantai yang kotor manakala beras diletakkan dalam stor yang menjadi tempat pembiakan lipas.
Restoran pengotor berkenaan merupakan sebuah daripada tiga premis makanan bukan Islam yang beroperasi pada siang bulan Ramadan yang diperiksa pada operasi yang dijalankan lapan penguat kuasa Pejabat Kesihatan Daerah Kemaman.
Ketika operasi dijalankan ke atas restoran di Kampung Cina itu, penguat kuasa terkejut apabila mendapati sayur-sayuran cuma disimpan di atas lantai sementara beras pula disimpan atas lantai tanpa rak pelapik di dalam stor yang berbau dan dipenuhi najis lipas.
Penguat kuasa Pejabat Kesihatan Kemaman menampal notis penutupan premis ekoran kotor. (Gambar kanan: Lipas ditemui di rak penyimpanan makanan.)
Pegawai Kesihatan Daerah Kemaman, Dr Mohd Anuar Abd Rahman berkata, pemeriksaan juga mendapati banyak lipas merayap di dalam stor itu dan di rak-rak penyimpanan makanan.
"Selain itu sisa makanan dan air buangan tidak dilupus dengan sempurna menyebabkan keadaan bertambah kotor.
"Kehadiran lipas ini boleh mendatangkan risiko berlakunya keracunan makanan dan penyakit lain. Lipas yang membiak berpunca daripada persekitaran yang kotor adalah ejen pembawa bakteria penyebab penyakit," katanya.
Katanya, restoran kotor itu yang turut dikenakan notis atas beberapa kesalahan lain diarah tutup selama 14 hari di bawah Seksyen 11 Akta Makanan 1983.
Menurut Anuar, hasil penilaian dilakukan, didapati restoran itu memperoleh markah kebersihan yang sangat rendah iaitu 49 peratus iaitu di bawah paras ditetapkan sebanyak 60 peratus.
Ketika premis itu diperiksa, ramai pelanggan sedang makan dan kira-kira 15 pelanggan sedang beratur untuk membungkus makanan.
Anuar berkata, di dalam operasi ke atas tiga premis itu juga pihaknya mengeluarkan denda berjumlah RM1,650 atas tujuh notis kesalahan di bawah Peraturan-peraturan Kebersihan Makanan 2009 dan empat daripada notis itu melibatkan restoran pengotor terbabit.
Tambahnya, kesalahan yang dikesan adalah tiada suntikan anti Tifoid dan tidak mematuhi aspek kebersihan diri semasa mengendalikan makanan.
"Kami beri peringatan tegas agar pengusaha restoran tidak memandang remeh aspek kebersihan kerana ia melibatkan kepentingan kesihatan awam. Kami tidak ingin berlaku sebarang kejadian penyakit berjangkit terutama keracunan makanan kerana ia memberi implikasi buruk termasuk boleh membawa kematian.
"Janganlah kerana permintaan yang sangat tinggi daripada pelanggan bukan Islam, kerana banyak premis makanan tidak beroperasi siang hari semasa Ramadan ini, pengusaha restoran mengabai aspek kebersihan," katanya.
Pengusaha premis tersebut telah diarahkan serta-merta untuk mengambil tindakan pembersihan sebelum pemeriksaan semula dijalankan bagi membolehkan ia beroperasi semula.
|
This post contains more resources
You have to Login for download or view attachment(s). No Account? Register
x
|