KUALA LUMPUR: Pengacara dan pelakon, Ain Edruce, bersyukur kerana vokal unik miliknya tidak mengundang kritikan negatif daripada orang ramai atau netizen.
Kata Ain, 27, sebagai orang baharu dalam bidang seni, tentu saja dia bimbang dengan penerimaan penonton terhadap suaranya yang dianggap berbeza jika dibandingkan dengan selebriti wanita lain.
"Khalayak tentunya akan memberikan pelbagai maklum balas terhadap sesuatu yang mereka tonton di kaca televisyen. Bukan sekadar komen positif, malah kata-kata negatif juga kadang kala turut diberikan terhadap hos baharu.
"Alhamdulillah, saya bersyukur kerana setakat ini belum ada pihak yang berpendapat suara saya aneh atau menjengkelkan. Malah, ia sebaliknya menjadi perhatian dan kebanyakannya memberi pujian.
"Kalau boleh, saya sendiri mahu dikenali bukan saja sebagai pengacara. Justeru, jika ada kesempatan dan peluang, saya ingin mencuba pelbagai bidang lain juga. Begitupun, buat masa ini saya belum ada perancangan untuk menjadi penyanyi," katanya yang mempunyai latar belakang dalam bidang muzik.
Bercakap kepada BH Online, pengacara Pop! Express dan pelakon drama bersiri Kekasih Paksa Rela ini berkata, walaupun ingin dikenali dengan gelaran anak seni serba boleh, dia harus bijak membahagikan waktu.
"Saya tidak mahu fokus terhadap sesuatu kerja terganggu sekiranya bertindak menerima pelbagai tawaran dalam satu masa," tegasnya.
Sementara itu, Ain berkongsi hasratnya untuk terus mengekalkan imej berambut hitam kerana sudah jelak mencuba pelbagai warna sebelum ini.
"Sebenarnya, sebelum ini saya sering kali menukar warna rambut hingga membuatkan ia rosak. Jadi, saya mengambil pendekatan untuk mengekalkan warna semula jadi. Tidak sangka ramai pula yang memuji imej sebegini," katanya.
baru tgk dia berlakon drama raya timah tina ape tah...sedap juga sheols ni bertutur bahasa melayu klasik...better dari nadia aqilah...remind me of ummi nazeera citer merong dan hantu kak limah...manis budaknya siap pakej tinggi jugak...tapi bila jadi tina hip hop tu annoying la pulak...mungkin sheols hanya sesuai berlakon jadi gadis tertib sopan santun jah kot...