"Tak perlu buat andaian yang bukan-bukan. Biar saya sendiri yang nyatakan di sini."
Pelakon Ellie Suriaty yang membuat kecoh di mahkamah baru-baru ini, menafikan dia berbuat demikian kerana dibayar pihak tertentu.
Tegasnya, sokongan padu ditunjukkan kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak adalah perjuangannya menegakkan keadilan tanpa mengharapkan sebarang balasan.
Menyedari ramai yang marah dengan tindakannya itu, Ellie memberi penjelasan menerusi video dimuat naik di laman sosialnya.
"Ramai yang marah dan ingat saya macam orang gila, terjerit-jerit di mahkamah serta sengaja mencetuskan provokasi.
"Ya, saya memang marah sebab ia berkaitan penggunaan bahasa kebangsaan," katanya.
Foto: FB Ellie Suriaty
Penyokong tegar Najib itu menegaskan apa yang berlaku di mahkamah bukanlah satu pakatan atau rancangan, sebaliknya orang ramai di situ memiliki perasaan yang sama.
"Kami tidak dibayar. Tak baik cakap saya dibayar untuk berada di situ.
"Saya masuk UMNO selepas kerajaan Barisan Nasional (BN) jatuh sebab saya mengenangkan nasib anak bangsa kita nanti," ujarnya.
Tambah Ellie, dia sebenarnya tidak marah keadilan mencari kebenaran berhubung skandal Najib dilaksanakan, sebaliknya dia kesal dengan layanan diterima bekas pemimpin tertinggi negara itu seperti membekukan akaunnya.
Setiap orang berhak menyatakan sokongan terhadap parti atau pemimpin pilihan masing-masing, namun jangan dilupa adab hingga dilihat keterlaluan dan menimbulkan rasa kurang senang orang ramai. - CARI |