"Di mana dia dapat cerita ini? Setakat ini, pihak polis belum lagi
menerima sebarang laporan."
Ketua Polis Daerah Putrajaya, Pemangku Asisten Komisioner Rosly Hassan menafikan dakwaan bekas anggota Wanita Umno Langkawi, Anina Saadudin kononnya berlaku kecurian di bilik stor di Seri Perdana.
Foto: FB Anina Saadudin
Memetik MalaysiaKini, Rosly berkata pihaknya masih belum menerima laporan mengenai dakwaan itu.
Anina sebelum itu memuat naik posting berserta gambar di laman Facebooknya mendakwa, bilik stor yang dikatakan mengandungi barangan milik Datuk Seri Najib Razak kelihatan seperti dimasuki penceroboh.
Menerusi posting berkenaan, Anina menyalahkan Perdana Menteri di atas 'kecurian' yang berlaku kononnya disebabkan tindakan Tun Dr Mahathir Mohamad menghalang bekas Perdana Menteri itu daripada mengambil barangan peribadinya.
"Tun tengoklah sendiri apa yang dah jadi? Disebabkan Tun tak bagi DS Najib ambil barang-barang peribadi beliau, maka ianya kini telah dimasuki pencuri yang mengambil barang-barang tersebut.
"Kenapa zalim sangat tindakan Tun ini? Itu barang-barang milik peribadi. Begini kah layanan kepada seorang bekas perdana menteri?" tulisnya.
Selain Dr Mahathir, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, Datuk Amar Singh yang menyiasat skandal 1MDB turut disindir bekas Wanita Umno itu.
"Jadi Tun, tolonglah suruh 'Inspektor Sahab' buat siasatan tentang perkara ni," sindirnya. - CARI |