Malaysia dan Indonesia dikenali dengan gelaran negara serumpun kerana memiliki banyak persamaan dari segi budaya, sejarah, keagamaan termasuk keturunan yang sama. Bagaimanapun, hubungan antara rakyat Malaysia dengan Indonesia kadang kala mengalami ketegangan berhubung pelbagai isu lebih-lebih lagi apabila ia dilihat secara emosional.
Baru-baru ini, semasa perlawanan bola sepak Piala AFF B19 di Indonesia, pasukan bola sepak Malaysia disambut dengan bas bermotifkan ‘Hello Kitty’ sebaik sahaja mereka tiba di lapangan terbang Surabaya. Ia berbeza dengan pasukan bola sepak lain yang disediakan bas dengan logo kelab bola antarabangsa seperti Real Madrid.
Seorang pengguna twitter memuat naik status menyindir perbuatan pihak Indonesia yang menyediakan bas ‘Hello Kitty' kepada skuad negara ini. Baginya, ia merupakan ‘permainan mental’ yang sengaja diberikan kepada pemain-pemain Malaysia sebaik mereka tiba di negara itu.
Tak ada bas motif lain ke selain Hello Kitty?
Walaupun ia bukanlah sesuatu yang wajar dilihat secara serius, tetapi rata-rata netizen berasa tidak berpuas hati dan marah dengan layanan yang diberikan oleh pihak Indonesia kepada skuad negara. Ramai yang beranggapan ia adalah provokasi untuk ditertawakan oleh penyokong Indonesia. Ia juga sedikit sebanyak mengusik emosi pemain-pemain negara ini dan bimbang akan menjejaskan mutu permainan.
Skuad Malaysia tetap boleh menang!
Bagaimana pun, netizen bangga dengan sikap positif pemain-pemain Malaysia yang langsung tidak terjejas dengan cara layanan pihak Indonesia terhadap mereka sepanjang mereka berada di sana. Mereka berjaya meraih kemenangan dalam kejohanan tersebut.
Konon nak balas dendam
Malah, yang lucunya, ada netizen yang mencadangkan agar suatu hari nanti Malaysia menyediakan bas bermotif ‘Didi and Friends’ pula kepada skuad negara Indonesia jika mereka datang ke sini.
Apa-apa pun, sikap pemain-pemain bola sepak negara kita wajar dipuji kerana bersikap professional dan mempunyai mental yang kuat serta mempunyai semangat kesukanan yang tinggi. Mereka langsung tidak menunjukkan tanda protes atau menimbulkan hura-hara sepanjang berada di sana. Jadi, memang layaklah skuad negara menang dalam kejohanan tersebut. - CARI |