|
Moscow: Seorang lelaki membunuh dan mengerat mayat teman wanitanya sebelum mencincang daging mangsa yang dibuang dalam lubang tandas, manakala tulangnya dicampakkan dalam sungai semata-mata tidak mahu kekasihnya tahu dia sebenarnya sudah berkeluarga.
Dmitry Zelensky, 36, menjanjikan teman wanitanya Tatiana Melekhina, 27, kehidupan baru di bandar besar dan membawanya dari pekan kecil mereka, Gubakha, ke Perm.
Tatiana bagaimanapun tidak mengetahui Zelensky sudah berkahwin dan mempunyai seorang anak perempuan serta tiada niat langsung untuk berpindah ke bandar berkenaan.
Sumber polis berkata, kekejaman jenayah itu terlalu mengejutkan, malah mengerikan detektif veteran sekalipun.
“Dia bukan saja mengerat mayat mangsa, malah mengasingkan daging dengan tulang. Daging itu pula dicincang sebelum dibuang dalam sistem kumbahan dan tulang dicampakkan ke dalam sungai,” katanya.
Zelensky mengaku perbuatannya selepas ditahan. Bagaimanapun, polis sehingga kini belum dapat memastikan lokasi Tatiana sebenarnya dibunuh.
Isteri Zelensky yang juga bernama Tatiana, 44, dipetik agensi berita tempatan berkata: “Saya tidak tahu nak kata apa. Saya tidak sangka dia mampu sekejam ini.”
Tatiana yang terkejut dengan berita itu berkata, dia dan suaminya kini hidup berasingan tetapi tidak bercerai secara rasmi.
Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 Ogos 2018 @ 9:28 AM
|
|