Pilunya hati apabila melihat bekas vokalis kumpulan Panji, Mohd Rafi Ibrahim yang kini terlantar di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), Kuantan akibat menderita hepatitis C, lapor Harian Metro.
"Saya sudah tidak berdaya untuk bekerja, malah nak berbual juga sukar. Jika boleh memang hendak segera sembuh tetapi doktor maklumkan hati saya gagal untuk berfungsi," katanya kepada NSTP.
Selepas mengalami kesukaran bernafas ketika berehat di rumah mereka di Indera Sempurna, Rafi atau Opie, 48, dikejarkan ke HTAA pada Sabtu lalu.
“Doktor kata saya perlu menjalani satu lagi pemeriksaan lanjut pada 20 Ogos ini, kini saya disahkan mengalami hepatitis C dan kegagalan hati untuk berfungsi dengan baik,” katanya.
Akibat penyakitnya itu, sudah tiga bulan Opie mengharapkan ihsan saudara terdekat kerana tidak mampu meneruskan tugas sebagai seorang tukang paip.
Opie yang popular dengan lagu ‘Kasih Yang Tak Pasti’ itu pernah popular dengan album Senang pada 1993 hingga tercalon untuk anugerah Artis Baru Terbaik (Berkumpulan) pada Anugerah Industri Muzik 1993.
 Kredit foto: FB Kelab Perantau
Opie memiliki enam cahaya mata termasuk tiga yang masih kecil dan bersekolah.
Jika ada yang ingin menyampaikan sumbangan, bolehlah disalurkan kepada akaun Bank Islam 06019021080458 atas nama isterinya, Suhailiza Ahmad, 42. - CARI |