Aktivis OKU berang cadangan kongsi tandas dengan transgender
https://www.malaysiakini.com/news/438720
Faisal Asyraf | Diterbitkan 13 Ogs 2018, 6:06 petang | Dikemaskini 13 Ogs 2018, 6:12 petang
Fuziah Salleh cuba lepas tangan apabila mencadangkan agar golongan transgender menggunakan tandas orang kurang upaya (OKU), kata aktivis OKU Anthony Thanasayan.
Thanasayan yang juga merupakan presiden NGO Petpositive berkata timbalan menteri di Jabatan Perdana Menteri itu membuat kenyataan yang tidak sensitif dan tidak boleh diterima.
"Apabila saya dengar kenyataannya, saya sangat marah. Dia siapa mahu suruh orang guna tandas OKU?" soalnya.
Jelas Thanasayan lagi, golongan OKU dan golongan yang sempurna fizikal tidak boleh berkongsi tanda kerana golongan OKU memerlukan bantuan apabila ingin membuang air.
Kenyataan Fuziah, tambahnya lagi, menghina bukan saja golongan OKU, tapi juga golongan LGBT.
"Mereka (LGBT) bukan orang kurang upaya. Itu juga penghinaan kepada mereka apabila minta mereka guna tandas OKU," katanya.
Justeru, Thanasayan menggesa Fuziah memohon maaf dan menarik semula kenyataannya.
Kata Fuziah, secara psikologi golongan berkenaan ialah wanita yang terperangkap dalam tubuh lelaki, maka mereka akan rasa tak selamat tak selesa ke tandas lelaki.
“Akan tetapi bila ke tandas perempuan, perempuan juga tak selesa sedangkan selama ni orang perempuan tak rasa apa.
“Oleh kerana isu ini dah jadi isu besar, ia timbul dilema oleh golongan transgender.
"Buat masa ini, mungkin itu (menggunakan tandas OKU) ialah penyelesaiannya," katanya.
Isu penggunaan tandas oleh golongan transgender timbul selepas sidang media yang dibuat oleh Menteri Agama Datuk Dr Mujahid Yusof bersama aktivis LGBT Nisha Ayub pada Jumaat lalu. |