Perdana Menteri (PM) Tun Dr Mahathir Mohamad menyatakan hasratnya untuk menyemak semula perjanjian air antara Malaysia dan Singapura dalam wawancara bersama Associated Press (AP), semalam.
Kredit foto: The Sun Daily
Dr Mahathir bercadang menaikkan harga air mentah yang dijual kepada Singapura sehingga lebih sepuluh kali ganda memandangkan Malaysia kini 'dihimpit' hutang besar.
Malaysia, hari ini menjual air mentah kepada Singapura pada harga 3 sen untuk setiap 1,000 gelen dan membeli air terawat pada kadar 50 sen bagi jumlah sama.
Dr Mahathir membandingkan harga itu dengan kadar yang diberikan Johor kepada Melaka iaitu 30 sen bagi setiap 1,000 gelen - kadar yang digambarkan sebagai 'bertimbang rasa' memandangkan ia adalah perjanjian domestik.
"Untuk sebuah negara luar, kita perlu dapat lebih daripada itu (harga kepada Melaka)," katanya.
Kredit foto: Reuters
Perjanjian air sudah lama menjadi pertikaian antara kedua-dua negara ini dan pada Jun selepas kembali menjadi PM, Dr Mahathir berkata, beliau mahu merunding semula harga itu.
Menteri Luar Singapura Vivian Balakrishnan bagaimanapun berkata, negara itu akan memenuhi perjanjian berkenaan dan menjangka Malaysia melakukan perkara sama. - CARI |