Wanita berusia 22 tahun menjadi yang termuda di Amerika Syarikat (AS) menjalani pemindahan wajah selepas dia menembak muka sendiri dengan senapang patah milik abangnya dalam satu cubaan bunuh diri.
Memetik The Sun, Katie Stubblefield menjalani pembedahan selama 31 jam di Cleveland, Ohio pada 4 Mei, 2017 selepas lebih tiga tahun insiden cubaan bunuh diri itu.
Menceritakan pengalamannya kepada National Geographic, Katie berkata, dia kini umpama mendapat 'satu lagi peluang untuk hidup'.
Pada 25 Mac, 2014, wanita dari Oxford, Mississippi itu melakukan cubaan bunuh diri selepas ditinggalkan kekasihnya.
Difahamkan, abangnya, Robert menemui adiknya terbaring di lantai bilik air 'tanpa wajah' selepas menembak mukanya.
Katie kemudian dikejarkan ke hospital di Memphis, Tennessee di mana doktor terpaksa menjahit matanya bagi menyelamatkan korneanya.
Dia seterusnya dipindahkan ke pusat perubatan di Clevelend untuk membaiki struktur tulangnya termasuk hidung dan rahangnya.
Selepas keadaannya disahkan stabil pada penghujung 2015, Katie dimasukkan dalam senarai pemindahan wajah pada Mac tahun berikutnya.
Kemudian, pada 4 Mei tahun lalu, Katie menerima wajah seorang wanita (Adrea Schneider) yang mati akibat pengambilan dadah berlebihan, sekali gus menjadikannya individu termuda menjalani pembedahan itu.
Kredit foto: The Sun/National Geographic
Katie kini menjalani rawatan terapi untuk berjalan dan bercakap. - CARI |