bila pemerintah zalim tak adil
bala pun datang bertimpa timpa
'Angin seakan-akan puting beliung'
KUALA LUMPUR: “Angin kuat itu datang dalam sekelip mata, ketika kelam kabut untuk melarikan diri, kepala saya dihempap dahan pokok, saya ingat saya sudah mati,” kata mangsa kejadian ribut di Salak South Baru, Chin Kam Peng.
Ketika kejadian kira-kira jam 4.30 petang semalam, peniaga durian berusia 57 tahun itu berada di gerainya.
“Pada mulanya hujan renyai, langsung tiada angin, kilat serta guruh pun tiada maka saya fikir tiada apa yang perlu dirisaukan, saya terus duduk di gerai saya.
“Tetapi tidak sampai lima minit kemudian, tiba-tiba angin kuat datang, sekali lalu sahaja payung gerai diterbangkan dan gerai saya tumbang, saya panik dan cuba mencari tempat untuk berteduh.
“Ketika berlari menuju ke kawasan rumah kedai berhampiran, kepala saya ditimpa dahan pokok menyebabkan saya cedera di kepala dan mata kiri, kereta saya turut musnah dihempap pokok tumbang,” katanya ketika ditemui, hari ini.
Pemilik gerai bunga bertentangan gerai Kam Peng, Parvathy, 68, pula berkata, ketika kejadian gerainya dijaga oleh anak lelakinya.
Katanya, ketika cuba melarikan diri, kaki anaknya itu tercedera akibat terpijak batu sementara gerainya rosak teruk dihempap pokok tumbang.
“Dia kemudian menelefon abang iparnya yang juga menantu saya memaklumkan kejadian itu sebelum dibawa ke hospital bagi mendapatkan rawatan.
“Dia sempat bercerita kepada saya, dia lari akibat ketakutan selepas melihat angin itu mempunyai bentuk seakan-akan puting beliung,” katanya.
Kira-kira 800 meter dari lokasi itu, bumbung dan rumah milik seorang kontraktor, Lai Swee Sang, 63, mengalami kerosakan teruk.
“Ketika kejadian saya tiada di rumah, isteri saya menelefon saya memberitahu angin sangat kuat dan mengeluarkan bunyi seakan-akan orang menyanyi.
“Selain itu, dia juga melihat angin itu berbentuk seperti puting beliung yang kecil, selain rumah saya, rumah jiran yang lain juga turut rosak sama ada dihempap dahan pokok atau terkena bumbung zink yang berterbangan,” katanya.
Sementara itu, seorang pemilik kilang perabot, Hui Kwan Wai, 81, mengalami kerugian besar selepas beberapa bahagian kilangnya runtuh
“Saya bersyukur ketika kejadian semua pekerja saya baru sahaja meninggalkan kilang selepas habis bekerja.
“Kilang saya mengalami kerosakan yang sangat teruk, ini kali pertama kejadian seperti ini berlaku di kawasan ini,” katanya.
|