Kredit foto: Viral Dot My & @ArifahIsHere
Sebenarnya, di Malaysia ada banyak tempat-tempat yang menarik untuk dilawati dan dijadikan destinasi percutian. Bagi sesiapa yang sukakan ketenangan dan pemandangan yang indah dan menarik, bolehlah berkunjung ke pulau-pulau yang ada di seluruh negara. Malah, pemandangan yang begitu cantik seakan berada di luar negara juga boleh dirakam dan fotonya disimpan untuk dijadikan kenangan.
Status yang dimuat naik oleh pemilik twitter ini bagaimana pun menimbulkan kegusaran apabila salah sebuah tempat yang sangat cantik dan menarik dan sentiasa menjadi perhatian pengunjung untuk bergambar menjadi tempat yang berbahaya. Ini kerana keadaan laluannya yang sudah terlalu uzur dan membahayakan. Bagaimanapun, masih ramai pengunjung yang sanggup mengambil risiko untuk sampai ke kawasan kincir angin yang terletak di Pulau Perhentian kerana tidak mahu melepaskan peluang bergambar dengan berlatar belakangkan pemandangan yang begitu indah.
Entah bila nak dibaiki
Ramai netizen yang mengakui jambatan besi yang menjadi laluan untuk naik ke kincir angin itu sudah semakin teruk dan berbahaya. Hal itu sudah lama berlaku dan pihak yang bertanggungjawab masih belum membaiki tetapi sekadar meletakkan papan tanda kawasan larangan.
Pengunjung dilarang menggunakan jambatan besi yang sudah rosak ini.
Pemandangan memang cantik!
Rata-rata netizen yang telah berkunjung ke sana mengakui yang pemandangan di kawasan kincir angin itu sangat indah dan cantik. Mereka turut berkongsi gambar-gambar yang diambil di situ. Malah ada yang menjadikan lokasi untuk photoshoot dan sebagainya. Tetapi, untuk naik ke tempat kincir angin, kebanyakan daripada mereka tidak menggunakan jambatan besi itu tetapi mendaki untuk sampai ke atas.
Kredit foto: @feyrra
Takut...Tak jadilah nak pergi
Ada juga netizen yang ingin pergi ke Pulau Perhentian untuk bercuti dan turut merancang untuk naik ke kincir angin bagi melihat pemandangan yang indah. Nampaknya mereka terpaksa menangguhkan atau membatalkan hasrat kerana risaukan keselamatan diri. Ada netizen yang pernah jatuh semasa menggunakan laluan jambatan besi yang sudah reput itu.
Berhati-hatilah jika ingin melawat atau melancong ke mana-mana destinasi percutian terutamnya ke lokasi kincir angin di Pulau Perhentian ini. Jangan disebabkan ingin mendapatkan pemandangan yang cantik untuk dirakam, kalian sanggup membahayakan diri. Setuju tak? - CARI |