Bekas Presiden Umno Datuk Seri Najib Razak yang hadir ke Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2018 semalam dilaporkan tidak tahan sebak sehingga mengalir air mata ketika semua perwakilan diminta berdiri untuk menyanyikan Teman Sejati - lagu yang dipopularkan kumpulan nasyid Brothers.
Kredit foto: carian internet
Memetik laporan Malaysiakini, Najib yang kini hanya berjawatan ketua bahagian dalam parti berkongsi di laman Facebook bahawa dirinya redha dan sedia menerima ujian yang diberikan padanya.
"Saya sabar, saya redha. Ini semua ujian oleh Allah. Maafkan saya tak dapat nak tahan sebak dan air mata tadi."
Dan beliau turut menegaskan tekadnya untuk terus bersama Umno kerana dirinya tidak keseorangan.
Di samping itu, kehadiran beliau disambut hangat selepas speaker Tan Sri Badruddin Amiruldin menyebut namanya, hadirin berdiri dan memberi tepukan penghormatan kepada beliau.
Biarpun diatur duduk di barisan ketiga bersama para perwakilan lain di bawah pentas utama, beliau tetap berwajah ceria dan beramah mesra dengan para perwakilan yang minta untuk berswafoto bersama-samanya.
Presiden Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, dalam ucapan penggulungan memberi penghormatan kepada Najib yang menurutnya berjiwa besar untuk hadir ke perhimpunan kali ini.
"Beliau sanggup duduk di barisan ketiga bersama-sama wakil bahagian Pekan. Inilah semangat bekas pemimpin yang berjiwa besar dan tetap bersama Umno," katanya disambut tepukan gemuruh perwakilan.- CARI