Sempena pelancaran produk pam susu boleh pakai pertama di dunia yang tidak mengeluarkan bunyi, syarikat pengeluar pam susu Elvie memuat naik sebuah video dengan kapsyen, "Memerah susu tidak sepatutnya membuatkan anda berasa seperti seekor lembu tenusu!"
Dalam klip video itu, empat orang ibu dilihat sedang menari di kandang lembu sebagai latar belakang sambil membawa pam yang digunakan untuk memerah susu lembu.
"Memperkenalkan Elvie Pump, pam susu boleh pakai senyap pertama di dunia. Mari bernyanyi bersama-sama. Ini bukan kantung susu, tetapi ia adalah payudara saya." kedengaran lirik yang digunakan dalam iklan tersebut.
Walaupun iklan itu direka untuk menonjolkan ciri senyap yang dicipta oleh teknologi mereka, ia nampaknya gagal mencapai matlamat iklan berkenaan.
Iklan terbabit mencetuskan kontroversi di Internet apabila netizen berang dan tidak bersetuju dengan pendekatan dilakukan syarikat berkenaan.
Foto: Independent UK
Kritikan dan kecaman sinis netizen membuatkan Elvie terpaksa mengeluarkan kenyataan bagi mempertahankan iklan mereka.
"Kami merakamkan video ini di sebuah ladang milik sebuah keluarga di mana haiwan dirawat dengan baik. Kami boleh memberi jaminan bahawa keperluannya juga dijaga dengan baik!" katanya.
Selain itu, syarikat terbabit juga menjawab tuduhan netizen yang mendakwa iklan berkenaan seolah-olah mahu mempamerkan buah dada wanita.
"Iklan ini dibuat hasil kerja sama syarikat kami dengan seorang pengarah yang juga seorang ibu. Malah, penarinya juga adalah dari kalangan ibu. Kami juga menonjolkan iklan ini dari perspektif seorang ibu yang berasa jengkel (berasa seperti seekor lembu) setiap kali mengepam susu," katanya seperti dipetik dari the Independent.
Elvie Pump ini dicipta mesra pengguna tanpa wayar atau tiub, sekali gus memudahkan pergerakan pemakainya walaupun ketika mengepam susu di luar.
Malah, produk ini tidak menghasilkan sebarang bunyi. Jadi, tiadalah ibu-ibu berasa serba salah dan malu untuk mengepam susu di luar rumah. - CARI
|