Hembus asap rokok pukau mangsa
Oleh WARTAWAN Kosmo! Ahad
PETALING JAYA - Bukan sebarang hembusan. Dengan hanya sekali hembusan asap rokok, lelaki atau perempuan yang menjadi mangsa didakwa tiba-tiba menjadi lupa diri dan seterusnya pengsan selama beberapa jam sebelum disamun oleh penjenayah.
Itu taktik penjenayah dengan memukau mangsa melalui asap rokok dalam beberapa kes melibatkan samun baru-baru ini.
Modus operandi mereka ialah menahan seorang mangsa tidak kira lelaki atau perempuan lalu bertanyakan sesuatu sambil menghisap rokok dan menghembuskan asapnya ke muka mangsa mengikut haluan angin. Mangsa yang terkena didakwa seperti dipukau bagi memudahkan penjenayah menyamunnya sebelum melarikan diri.
Salah seorang mangsa, seorang pelayan pusat hiburan ditemui terbaring di SS3, Sungai Way di sini sewaktu rakannya hendak keluar ke pejabat minggu lalu. Dia yang dikenali sebagai Josephine berkata, sebelum pulang dari kerja pada malam tersebut, seorang lelaki tidak dikenali muncul untuk bertanyakan sesuatu.
Katanya, lelaki tersebut kemudiannya menghembus asap rokok ke mukanya dan tiba-tiba kepalanya terasa pening hingga ditemui terbaring oleh rakannya. "Saya kehilangan wang tunai, barang kemas dan telefon bimbit yang semuanya bernilai hampir RM3,000.
"Rakan saya pelik kenapa saya tidur di taman tersebut sedangkan rumah kami tidak jauh dari situ," katanya.
Seorang lagi mangsa, Shahidah, 24, pula berkata, dia kehilangan beg tangan yang mengandungi segala barang berharga akibat semburan asap oleh seorang lelaki ketika sedang menuju ke keretanya di sebuah kompleks beli belah.
"Apa yang saya ingat, dia turut menaiki kereta saya sebelum saya ditemui sedang tidur di atas kerusi tempat riadah di Rawang.
"Kereta saya tidak dilarikan tetapi beg tangan yang mengandungi wang tunai, barang kemas, telefon bimbit dan lain barang berharga lesap," jelasnya.
Sementara itu, seorang lagi mangsa yang mahu dikenali sebagai Azrul, 25, pula mendakwa kehilangan telefon bimbit bernilai RM2,000 akibat kejadian dipukau seorang lelaki pada 27 Mac lalu.
Menurutnya, dalam kejadian kira-kira pukul 2.30 petang itu beliau sedang menunggu rakannya yang sedang berurusan di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) di Maju Junction di sini.
"Ketika menunggu, saya keluar menghisap rokok sebelum didatangi seorang lelaki berpakaian kemas yang ingin meminta pertolongan menggunakan telefon bimbit milik saya.
"Dengan wajah penuh kasihan, dia beritahu dia bekerja sebagai pensyarah dan hendak lakukan transaksi wang kepada anaknya di sebuah bank dan meminta saya mendail nombor telefon bank berkenaan," katanya.
Azrul berkata, secara tiba-tiba seorang lelaki lain yang dipercayai rakannya menghampiri mereka dan menghulurkan sebatang rokok kepada pensyarah tersebut sebelum beredar.
"Pensyarah itu kemudiannya terus menyalakan rokok sambil menghembuskan asap ke arah muka saya sebelum saya seperti tidak sedarkan diri atau terpukau. "Tidak pasal-pasal saya rugi dekat RM2,000 akibat kehilangan telefon bimbit itu," katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Arjunaidi Mohamad ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berkenaan kes-kes tersebut.
"Kami masih menyiasat dan sehingga hari ini, belum ada tangkapan dibuat," katanya.
|