Seorang lelaki tergamak membunuh ibunya sendiri kerana menganggap wanita itu sebagai hantu 'aswang'.
MSN melaporkan, kejadian yang berlaku di bandar Sipalay, Filipina itu menyaksikan lelaki tersebut memukul ibunya terlebih dahulu sebelum membakarnya.
Suspek, 42 yang dipercayai sakit jiwa mempercayai bahawa ibunya adalah aswang, iaitu satu semangat jahat yang mana penduduk tempatan percayai ia boleh menyerupai pelbagai bentuk.
Walaupun gambaran mengenainya adalah berbeza dari satu rantau ke satu rantau lain di Filipina, ia sering dikaitkan dengan wanita yang makan janin atau anak kecil.
Lokasi kejadian, Kredit foto: MSN
Ketika kejadian, mangsa yang berusia 63 tahun sedang bersama tiga cucunya di rumah.
Suspek memberitahu polis yang dia melihat mata ibunya berwarna merah dan lidahnya panjang serta terjelir.
Dia kemudiannya memukul mangsa dengan penyodok dan menyebabkan mangsa tak sedarkan diri.
Mangsa diheret ke luar rumah sebelum dibakar.
GMA News menyatakan, kesemua cucunya yang berumur 10 tahun ke bawah berjaya melarikan diri.
Polis berjaya menahan suspek yang mengaku melakukan jenayah tersebut.
Difahamkan, suspek tidak tidur dan makan sekurang-kurang tiga hari sebelum bertindak membunuh. -CARI |