Sorakan padu puluhan ribu penyokong mampu cetus semangat pemain
Azizul Fahmi Ahmad Zabidi
30 November 2018 2:10 AM
SORAKAN padu puluhan ribu peminat mampu menyuntik semangat luar biasa para pemain untuk mencatat keputusan positif ke atas Thailand di Bukit Jalil esok.
DEBARAN semakin me­muncak menjelang sai­ngan separuh akhir pertama Piala Persekutuan Bola Sepak ASEAN (AFF) Suzuki 2018 di Stadium Nasional, Bukit Jalil, Kuala Lumpur malam esok.
Selepas gah menempah tiket ke separuh akhir hasil kejayaan menumbangkan Myanmar 3-0 pada aksi terakhir Kumpulan A Sabtu lalu, Harimau Malaya perlu mengharungi satu lagi ujian getir apabila dijadualkan berdepan penyandang juara, Thailand.
Atas kertas, Thailand memiliki reputasi yang cukup tinggi di pentas Piala AFF (1996 hingga 2004 dikenali Piala Tiger) bersandarkan rekod ampuh memegang status juara sebanyak lima kali iaitu bagi edisi 1996, 2000, 2002, 2014 dan 2016.
Skuad yang terkenal dengan jolokan Gajah Perang itu turut cemerlang apabila muncul naib juara Piala AFF Suzuki seba­nyak tiga kali iaitu pada kempen 2007, 2008 dan 2012.
Sebaliknya, Harimau Malaya tampil pada kempen kali ini de­ngan memburu gelaran kedua selepas dimasyhurkan sebagai juara Piala AFF 2010 yang ketika itu menyaksikan skuad negara dibimbing Datuk K. Rajagobal.
Selain pernah mengecap kemasyhuran sebagai juara edisi 2010, Malaysia turut dinobatkan selaku naib juara pada kempen 1996 dan 2014. Ironinya, Thailand menjadi penghalang Malaysia untuk muncul juara pada kedua-dua edisi tersebut.
Selepas kecundang 0-1 hasil jaringan bintang sensasi Thailand, Kiatisuk Senamuang pada final edisi 1996, Malaysia sekali lagi terpaksa akur kepada lawan sama apabila dinafikan hajat merangkul kejuaraan selepas tewas dengan agregat 3-4 dalam perlawanan akhir edisi 2014.
Begitupun, Harimau Malaya kendalian Tan Cheng Hoe tidak seharusnya menjadikan rekod sebelum ini sebagai kayu pe­ngukur dalam misi mereka memburu mahkota kejuaraan Piala AFF Suzuki 2018.
Andai diimbas rekod pertemuan kedua-dua pasukan dalam kempen ini yang walaupun lebih berpihak kepada Thailand, Harimau Malaya tidak seharusnya gentar mencalar reputasi milik skuad Gajah Perang itu.
Selepas berentap pada aksi final sulung edisi 1996, kedua-dua pasukan tidak bertembung dalam mana-mana aksi dalam kempen 1998. Mulai edisi 2000, kedua-dua pasukan telah bertemu dalam lapan edisi berturut-turut sebanyak 11 kali.
Dalam 11 pertemuan tersebut, Thailand menang enam kali, Malaysia menang tiga kali dan dua perlawanan berkesudahan dengan keputusan seri.
Seharusnya anak-anak buah Cheng Hoe menjadikan rekod tiga kemenangan ke atas Thailand itu sebagai pembakar semangat buat mereka untuk sekali lagi membenam ego lawan di pentas Piala AFF Suzuki.
Skuad lengkap
Bagi bekas penyerang berbisa negara, Muhamad Khalid Jamlus, tiada yang mustahil buat skuad Harimau Malaya untuk menjinakkan Thailand, baik di halaman sendiri mahupun ge­langgang lawan.
“Saya berkesempatan me­nyaksikan perlawanan antara Malaysia dan Myanmar Sabtu lalu. Apa yang saya lihat, kita memiliki pasukan yang serba lengkap di setiap posisi.
“Tambahan lagi, Malaysia kini memiliki seorang pemain naturalisasi, Mohamadou Sumareh yang banyak membantu kekuatan di posisi sayap. Selain Sumareh, saya lihat Malaysia memiliki adunan pemain lama dan muka baharu yang baik.
“Ini semua menjadikan Malaysia sebagai antara pasukan yang mampu mencabar kejuaraan Piala AFF kali ini. Tidak mustahil Malaysia mampu mengalahkan Thailand jika aksi yang sama ditunjukkan ketika menentang Myanmar sebelum ini,” ujar Khalid kepada Kosmo! semalam.
Menurut Khalid, Harimau Malaysia tidak harus memandang tinggi keupayaan Thailand sehingga menjejaskan rentak permainan.
“Paling penting, semangat juang perlu ada, tidak kira siapa lawan kita. Sudah tentu formasi yang diterapkan jurulatih nanti bakal menjadi penentu keputusan perlawanan itu nanti.
“Demi lencana di dada, setiap pemain Malaysia yang diturun­kan nanti harus menampilkan kredibiliti masing-masing. Mereka harus beraksi bermati-matian bagi membanggakan seluruh penyokong dan peminat bola sepak Malaysia,” ujar Khalid.
Dijulang sebagai wira ketika kejayaan Malaysia membenam Thailand 2-1 pada aksi peringkat kumpulan edisi 2004, Khalid turut mengingatkan Harimau Malaya menggunakan kelebihan beraksi di laman keramat Sta­dium Nasional, Bukit Jalil untuk mencari bekalan selesa sebelum bertandang ke gelanggang lawan 5 Disember ini.
“Apabila beraksi di tempat sendiri, kita kena pulun habis-habisan dan kalau boleh, jangan hadiahkan sebarang gol kepada Thailand. Di tempat lawan nanti, saya yakin jurulatih ada formula tersendiri selepas melihat aksi di tempat sendiri.
“Saya juga ingin nasihatkan para pemain supaya sentiasa fokus dan elak buat kesilapan mudah. Perbaiki juga hantaran pendek dan panjang yang kadang-kadang saya lihat tidak begitu menjadi.
“Diharapkan Mat Yo (Norshahrul Idlan Talaha), Zaquan (Adha Abdul Radzak) dan Shahrel (Fikri Md. Fauzi) tidak melepaskan peluang untuk menghasilkan gol. Bawa bekalan selesa untuk bermain di Bangkok nanti,” ujarnya yang meledak enam gol pada edisi 2004.
Sokongan padu
Pada masa sama, Khalid sekali lagi menagih sokongan padu ribuan penyokong Harimau Malaya untuk menjelmakan sema­ngat luar biasa kepada barisan pemain negara.
“Saya lihat sokongan yang diberikan Ultras Malaya dan juga penyokong-penyokong pada malam Sabtu lalu cukup luar biasa. Teruskan beri sokongan. Jikalau para pemain jatuh, ba­ngunkan mereka kerana hanya dengan sokongan itu yang mampu menambahkan lagi semangat mereka,” katanya.
Sementara itu, nada sama turut disuarakan oleh seorang lagi bekas penggempur berbisa negara, Indra Putra Mahayuddin.
Sebagai antara penjaring terbanyak Malaysia dengan rekod sembilan gol pada kempen Piala AFF Suzuki, Indra menganggap peluang Harimau Malaysia menyekat langkah Thailad tetap ada sekalipun mereka bakal berdepan tugas getir.
“Saya ramal peluang kedua-dua pasukan adalah 50-50. Masing-masing ada kekuatan tersendiri dan hanya pasukan yang kurang membuat kesilapan akan keluar sebagai pemenang.
“Bagaimanapun, saya tetap jangka Malaysia masih mampu menewaskan Thailand dengan syarat, mereka menggunakan setiap peluang yang ada seperti mana yang ditunjukkan ketika menentang Myanmar.
“Barisan pertahanan juga di­ingatkan agar jangan hilang tumpuan. Hanya akibat kurang konsentrasi, ia mampu mengundang padah kepada pasukan negara,” katanya yang menyumbang satu gol ketika Malaysia membenam Thailand 3-2 pada aksi final ke­dua Piala AFF Suzuki 2014 di Stadium Nasional, Bukit Jalil.
Selepas perhitungan di Stadium Nasional, Bukit Jalil esok, Malaysia dan Thailand akan sekali lagi berentap pada aksi kedua di Stadium Rajamangala, Bangkok Rabu depan.
sesambil tu, jom layan Ultras Malaya (UM07) masa Piala Suzuki Aff 2014, lawan thailand jugak masa tu
berkobar2 jer rasa, selain nk tengok game, nak tengok ultras malaya jugak
untunglah sapa2 yg dapat tiket tu
Kata mulut akan menang dah akan terus ke final jumpa vietnam. Dan menang piala AFF suzuki.
Tapi dalam hati kata akan kalah dgn siam di Bangkok next week.
Harap akan skor 2 biji dan clean sheet. Di SBJ.
Aku suspect sikit defend dgn DM, tak ada fitness nak kejar player2 siam ni. Maybe player siam ada lebih dari segi skill teknikal dan fitness. Taktikal bergantung kpd player yg ada, kalau player x dek skill teknikal dan tak fit tak buleh buat apa2 juga.
Aku sokong, Harimau Malaya.
P/s Ultra's tu glamour je lebih, tapi kosong gak...