|
Apa perasaan anda sekiranya seseorang yang anda minat tiba-tiba mengirim pesanan kepada anda? Apa pula yang akan berlaku jika selebriti kegemaran anda berkata, dia menaruh hati terhadap anda? Pasti gila!
Terbaru, seorang wanita warga Rusia bukan saja patah hati, malah kerugian hampir AUD20,000 (RM61,514) selepas menyangka hero pujaan ramai, Chris Hemsworth, 35, terpikat padanya.
Kredit foto: IG Chris Hemsworth
Memetik Daily Mail, wanita berusia 42 tahun itu menerima pesanan menerusi laman siosial daripada individu menggunakan nama aktor Hollywood berkenaan yang memujinya 'sangat cantik'.
Difahamkan, wanita yang sudah berkahwin dan menetap di Siberia itu menerima beberapa pesanan di Twitter daripada seorang individu mendakwa dirinya bintang popular dari Australi terbabit.
"Hei, saya Chris Hemsworth. Saya pelakon terkenal dari Australia dan tinggal di California. Awak sangat cantik, boleh kita chat?" katanya dalam mesej itu seperti dilaporkan The Siberian Times.
Wanita itu berkata kepada media tempatan bahawa dia 'bukan peminat 'Hemsworth', namun hasil penelitiannya, dia mendapati 'aktor' terbabit merupakan bapa kepada tiga anak.
"Ketika itu, saya menganggap mungkin situasinya sama seperti saya, kami sudah berkahwin namun dalam masa sama sangat kesunyian," ujarnya.
Kredit foto: The Siberian Times
Individu terbabit meminta mangsa terbang ke Australia untuk bertemu dengannya, tetapi kemudian menukar rancangan kononnya dia yang akan pergi ke Rusia.
Wanita itu berkata, dia kemudian dihubungi seorang lelaki mendakwa dirinya peguam Hemsworth yang kononnya sedang mengalami masalah kewangan.
Mangsa diberitahu 'Hemsworth' memerlukan wang untuk jet peribadi, insurans dan visanya sebelum 'peguam' berkenaan menghantar gambar lesen memandu palsu dengan gambar aktor terbabit sebagai jaminan bayar balik.
Kredit foto: The Siberian Times
Tidak mengesyaki sesuatu yang mencurigakan, wanita itu mengeluarkan pinjaman sebanyak 980,000 ruble (AUD20,000) dan memindahkan wang berkenaan sebelum mendapati media sosial penipu terbabit tiba-tiba dipadam. Namun, sayang semuanya sudah terlambat.
Hemsworth dan isterinya, Elsa Pataky berpindah ke Byron Bay di New South Wales pada 2014 dan tidak pernah tinggal di California.
Aktor yang terkenal sebagai Thor itu juga tidak mungkin mengalami masalah kewangan memandangkan dia tersenarai dalam Forbes World's Highest Paid Actors dengan pendapatan sebanyak AUD43.59 juta (RM134 juta), tahun lepas.
Kredit foto: news.com.au
Malah, rumah agam 'gergasi' bernilai AUD9 juta (RM27.67 juta) milik pasangan itu dilaporkan kini hampir siap sepenuhnya. - CARI
|
|