Menjadi ibu bapa bukanlah sesuatu yang mudah tetapi merupakan satu amanah dan komitmen yang berterusan sehinggalah anak-anak meningkat dewasa. Semasa anak-anak kecillah ibu bapa perlu berusaha menjaga dengan baik, mendidik, dan meluangkan masa bersama agar apabila anak-anak besar nanti, hubungan antara anak-anak dan ibu bapa tetap mesra.
Kredit foto: Google( Gambar sekadar hiasan)
Berbeza dengan zaman sekarang yang kebanyakan ibu bapa sibuk dengan kerjaya masing-masing. Anak-anak sudah biasa tinggal di taska atau di rumah pengasuh dan masa ibu bapa bersama anak-anak sudah menjadi begitu terhad. Malah, dengan wujudnya istilah ‘me time’ bagi mereka yang bergelar ibu bapa, ia seolah-olah menjauhkan lagi hubungan ibu bapa dengan anak-anak gara-gara memerlukan masa untuk bersendiri atau keluar berdua dengan pasangan untuk mengeratkan hubungan suami isteri, dalam masa yang sama melepaskan tekanan melayan karenah anak-anak.
Bagi golongan ibu yang tidak bekerja dan menjadi suri rumah sepenuh masa, mereka juga dikatakan memerlukan ‘me time’ agar dapat mengembalikan mood dan menghilangkan keletihan menjaga anak-anak dirumah. Jadi, keluarlah si ibu ini ber’me time’ seorang diri atau bergembira bersama rakan-rakannya bagi menghilangkan tekanan menjaga anak-anak di rumah.
Kredit foto: Google (Gambar sekadar hiasan)
Seorang pengguna facebook yang juga merupakan seorang perunding motivasi ini telah berkongsi satu kisah yang telah menjentik hati ibu bapa moden masa kini. Baginya, apabila seseorang sudah memasuki fasa perkahwinan dan bergelar ibu bapa, corak kehidupan mereka akan berubah dan mereka perlu menyesuaikan diri dengan keadaan tersebut tanpa kompromi kerana ia sudah menjadi tangung jawab yang perlu dipikul.
Ibu bapa perlu terima hakikat. Apabila sudah berkahwin dan ada anak, kehidupan tidak sama dengan masa bujang dahulu.
Netizen ini bersetuju bahawa tidak perlu ada istilah ‘me time’ bagi ibu bapa kerana ia dianggap seperti mementingkan diri. Dek kerana ingin memenuhi kemahuan diri, anak-anak dan pasangan ditinggalkan untuk seketika.
Ibu bapa dulu-dulu tiada pun nak 'me time'
Sememangnya zaman telah berubah tetapi ia tidak boleh menjadikan alasan bahawa anak-anak adalah beban dan pemberi tekanan dalam hidup. Ibu bapa zaman dahulu tidak memerlukan ‘me time’ seperti ibu bapa moden sekarang kerana amanah dan tanggung jawab menjaga anak-anak tiada bezanya.
Hargai anak semasa mereka masih kecil
Netizen mengakui apabila anak-anak sudah besar, masa mereka pula begitu terhad bersama anak-anak kerana masing-masing sibuk dengan persekolahan dan aktiviti-aktiviti mereka sendiri. Penat menjaga anak-anak yang masih kecil hanyalah sementara dan hargailah masa mereka dengan sebaiknya.
Tidak salah untuk ber’me time’ tetapi apa salahnya melakukan ketika bersama anak-anak tidak kiralah di rumah atau di luar. Atau carilah peluang untuk ber ’me time’ di rumah ketika anak-anak sedang leka bermain atau tidur. Anak-anak adalah penghibur dan penyejuk hati ibu bapa. Jika kalian merupakan ibu bapa yang bijak, kalian pasti merebut masa yang ada untuk sentiasa bersama anak-anak dengan perasaan yang sangat bahagia. Setuju tak? - CARI |