Lokasi kejadian seorang lelaki yang maut setelah membakar dirinya sendiri di dalam teksi di Seoul, Korea Selatan. Kredit foto: South China Morning Post
Seorang pemandu teksi di Korea Selatan mengambil tindakan ekstrem dengan membakar dirinya sendiri sebagai simbolik bantahan terhadap rancangan Kakao Mobility untuk memperkenalkan aplikasi kongsi kereta (car pooling) di negara tersebut.
Memetik laporan Independent pada 10 Disember, lelaki berusia 57 tahun itu meninggal dunia setelah berbuat demikian dalam demonstrasi bantahan pemandu-pemandu teksi berhampiran Parlimen Korea Selatan di Seoul.
Jurucakap polis dan bomba menyatakan, lelaki tersebut menyiram tubuhnya dengan cecair mudah terbakar ketika dia duduk di dalam teksi sebelum menyalakan api pada bajunya.
Pemandu-pemandu teksi yang menganggotai kesatuan melancarkan demonstrasi di ibu negara Korea Selatan bagi membantah aplikasi kongsi kereta yang dicadangkan oleh Kakao Mobility yang didakwa boleh menjejaskan pendapatan mereka.
Kakao Mobility merupakan anak syarikat pengendali perkhidmatan pesanan mudah alih, Kakao Corp.
Demonstrasi pemandu-pemandu teksi membantah perkhidmatan kongsi kereta di Korea Selatan. Kredit foto: Independent
Jumaat lalu, Kakao Mobility mengesahkan ia sedang menguji aplikasi tersebut walaupun menerima bantahan keras daripada pemandu-pemandu teksi yang mahu kerajaan Korea Selatan menolak permohonan daripada syarikat berkenaan.
"Kami sedang berusaha mendesak kerajaan untuk menghentikan perkhidmatan kongsi kereta," jelas seorang pegawai dari Gabungan Kebangsaan Persatuan Teksi Korea Selatan.
Sementara itu, jurucakap Kakao Mobility menyuarakan perasaan simpati syarikatnya kepada waris pemandu teksi tersebut.
"Kami bersedih dengan kejadian ini dan mengucapkan takziah," katanya.
Walaupun mereka berhak menganjurkan demonstrasi dan membantah, tidak seharusnya sampai bertindak membakar diri sendiri. - CARI |