Foto: Google
Kebebasan umat Islam di China untuk mengamalkan agama mereka semakin dikekang berikutan tindakan pihak berkuasa negara itu menutup tiga masjid di Yunnan.
Memetik laporan South China Morning Post pada 31 Disember, tindakan itu diambil kerana masjid-masjid tersebut didakwa dibina secara tidak sah namun tidak diketahui sama ada jemaah yang berada di dalamnya turut ditahan.
Jurucakap Biro Propaganda Mukim Weishan menyatakan pihak polis telah mengambil langkah sewajarnya terhadap kegiatan 'beribadah secara tidak sah'.
Sementara itu, pegawai-pegawai dari Biro Keselamatan Awam Mukim Weishan dan Balai Polis Weishan Yongjian enggan mengesahkan sama ada tiga masjid itu akan dirobohkan atau sebaliknya.
Notis rasmi yang disiarkan melalui Weibo pada 29 Disember mendakwa masjid-masjid berkenaan dibina secara haram dan melakukan kegiatan pendidikan agama di luar garis panduan yang ditetapkan oleh kerajaan China.
"Tindakan polis di tiga kampung iaitu Huihuideng, Sanjia dan Mamichang telah diselaraskan di bawah Jawatankuasa Hal Ehwal Etnik dan Agama Mukim Weishan bagi memelihara keamanan dan kestabilan dalam lingkungan keagamaan," jelas notis itu.
Tidak dapat dipastikan sama ada pihak polis turut menahan jemaah masjid. Kredit foto: South China Morning Post
Menurut sumber di Yunnan, pentadbiran ketiga-tiga masjid berkenaan telah mengemukakan permohonan pendaftaran sebanyak beberapa kali dalam masa 10 tahun lalu namun kesemuanya ditolak oleh pihak berkuasa tempatan.
Setiap masjid dan rumah-rumah ibadat agama lain di China mesti didaftar dan diluluskan oleh kerajaan terlebih dahulu sebelum dibenarkan untuk beroperasi secara sah.
Sebelum ini, pihak berkuasa China telah menutup beberapa masjid dan sekolah bahasa Arab di Ningxia dan Gansu berikutan arahan Presiden Xi Jinping untuk mengawal kegiatan agama serta meletakkan perkara itu di bawah bidang kuasa Parti Komunis China.
Syukurlah setiap rakyat Malaysia bebas mengamalkan ajaran agama masing-masing tanpa kekangan daripada kerajaan. - CARI |