Gulai daging bukan hidangan yang asing lagi, tapi gulai daging binjau? Ramai yang tidak mengenali ataupun pernah mendengar tentang buah binjau/belinjau/belinjo/melinjo, tetapi mungkin anda lebih mengenalinya dalam bentuk kerepek kering yang rasanya agak pahit.
Kerepek binjau ini ada dijual di pasar dan kebanyakannya diimport dari Indonesia. Agak sukar untuk menemuinya ditanam di Malaysia apatah lagi pokoknya menjulang tinggi hinggakan sukar untuk mendapatkannya.
Keropok binjau yang belum digoreng (Sumber: kulinermedia.blogspot.com)
Untuk memasak gulai daging binjau ini, anda boleh menggunakan mana-mana resipi gulai daging (sama ada yang menggunakan santan atau tanpa santan) dan hanya menambahkan sahaja buah binjau setelah daging empuk. Tapi ingat, sebelum anda mula memasak, ketahui dulu cara untuk menyediakan buah binjau agar dapat dimasak dengan sempurna.
Buah binjau yang digunakan untuk memasak gulai daging ini adalah buah yang berwarna hijau, iaitu buah yang muda. Buah binjau yang sudah masak berwarna merah dan buah inilah yang dijadikan kerepek binjau.
Buah binjau yang sudah masak (merah) dijadikan kerepek manakala buah yang muda (hijau) dimasak dalam gulai daging (Sumber: hmetro.com.my)
Mula-mula, buah binjau dibelah dua dan kemudian direndam dalam air. Lapisan putih yang keras yang melekat antara biji dan kulit hendaklah dibuang. Proses ini memakan masa yang agak lama, namun selepas itu anda hanya perlu memasukkan buah binjau yang sudah dibersihkan bersama bahan lain dalam periuk setelah daging empuk.
Mungkin ada yang tertanya-tanya tentang rasa buah binjau setelah dimasak. Adakah sedikit pahit seperti kerepek binjau? Jangan risau, rasanya seperti memakan kekacang. Kulitnya yang nampak keras pun sebenarnya lembut dan enak dimakan setelah dimasak bersama gulai daging.
Tapi, persoalannya ialah di mana nak cari hidangan gulai daging binjau ini? Memang hidangan rare betul! - CARI |