BATU GAJAH: Empat sekeluarga membabitkan nenek, emak dan dua anak lelaki ditahan polis selepas dipercayai mencuri pelbagai barangan di sebuah pasar raya di Taman Pusing Hijau, Pusing, di sini, semalam. Dalam kejadian kira-kira jam 6 petang itu, keluarga terbabit dipercayai memasuki pasar raya berkenaan dan pergi ke ruang barangan keperluan dapur sebelum keluar dan melarikan diri tanpa membuat bayaran. Ketua Polis Daerah Batu Gajah, Asisten Komisioner Ahmad Adnan Basri, berkata kejadian itu disedari penyelia pasar raya itu apabila mendapati beberapa kotak susu, susu tin, minyak masak dan penyembur serangga hilang dari rak peragaan selepas melakukan pemeriksaan. Katanya, penyelia berkenaan kemudian membuat laporan di Balai Polis Pusing dan berdasarkan maklumat berkenaan, polis berjaya mengesan keluarga itu yang menaiki kereta jenis PROTON Saga berwarna putih di stesen minyak berdekatan. “Polis berjaya mengesan kesemua mereka pada jam 6.30 petang di sebuah stesen minyak berdekatan dan merampas kesemua barangan yang dipercayai dicuri dari pasar raya berkenaan. “Kesemua barang yang dipercayai dicuri itu ditemui di ruang penyimpanan barang kereta berkenaan dan kesemua suspek ditahan untuk siasatan,” katanya dalam kenyataannya di sini, hari ini. Ahmad Adnan berkata, keempat-empat suspek yang ditahan itu berusia antara 17 hingga 60 tahun dan kesemua mereka mempunyai pertalian kekeluargaan iaitu nenek, emak dan dua anak lelaki. Katanya, barangan yang berjaya dirampas adalah 14 kotak susu Anmum, dua bungkus Nestum, sebungkus Milo, dua paket minyak masak, lima tin penyembur serangga dan pelbagai jenis pakaian dengan nilai kerugian RM900. Menurutnya, siasatan lanjut masih dijalankan mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan.
Sumber : Berita Harian
|