Kredit foto: Facebook
Masih ada segelintir pihak di negara ini yang keliru dengan konsep halal sehingga menyebabkan mereka tersalah tafsir bir tanpa alkohol sebagai minuman halal.
Perkara itu dapat dilihat pada reaksi laman Facebook Malaysian Chinese News pada 21 Jun terhadap laporan The Star Online tentang produk Heineken 0.0 yang tidak mengandungi alkohol.
Seorang pengamal media tempatan, Mohd Hazli Hassan bimbang kesimpulan yang dibuat oleh Malaysian Chinese News itu boleh mengelirukan pengguna terutama dalam kalangan Muslim.
Dalam status yang disiarkan melalui laman Facebook miliknya pada 21 Jun, beliau mempersoalkan sama ada segala syarat yang melayakkan minuman malta itu dilabelkan sebagai halal telah dipenuhi.
Mohd Hazli turut berkongsi pengalamannya membuat liputan tentang pengeluaran minuman malta halal di sebuah kilang di Australia.
Kredit foto: Facebook
Justeru, beliau menggesa Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) membuat teguran terhadap pengendali laman Facebook Malaysian Chinese News kerana didakwa telah menyamakan bir tanpa alkohol dengan minuman halal.
Berdasarkan Manual Prosedur Pensijilan Halal Malaysia (MPPHM) dan Standard Malaysia MS1500:2009, produk yang menggunakan nama sinonim dengan produk tidak halal atau istilah yang mengelirukan seperti ham, bak kut teh, bakon dan bir tidak layak memohon sijil halal Malaysia.
Adakah bir tanpa alkohol dikategorikan sebagai halal? Kredit foto: Halvec
Memang wajar teguran itu dibuat bagi menjaga sensitiviti umat Islam yang diwajibkan mengambil makanan dan minuman yang halal lagi suci sahaja.
Malah, Heineken sendiri langsung tidak mengaitkan produk minuman malta tanpa alkohol itu dengan status halal. - CARI |