Setelah berminggu isu mengenai rumah tangga di antara Fizo Omar dan isterinya Mawar Abdul Karim menjadi teka-teki di kalangan netizen, akhirnya terjawab.
Pelakon dan usahawan, Fizo Omar kini sah menceraikan isterinya dengan talak satu pada pagi Rabu, memetik Mstar Online.
Ikatan perkahwinan yang hanya bertahan selama 6 tahun itu akhirnya punah apabila Fizo ataupun nama sebenarnya, Wan Hafizol Wan Omar, 34, melafazkan cerai talak satu terhadap Mawar, 30, pada pukul 10.55 pagi ini.
Lafaz tersebut telah dilafazkan di hadapan Hakim Syarie, Che Abdullah Che Hassan.
Sebelum ini, bekas isteri Fizo telah memfailkan permohonan cerai pada 5 Julai lalu mengikut Seksyen 57 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Negeri Selangor 2003.
Perkahwinan mereka berdua sebelum ini dikurniakan seorang anak perempuan, iaitu Wan Maryam yang kini berusia 2 tahun. Sebelum ini, Fizo pernah memberitahu media bahawa dia mengakui terkejut kerana Mawar sudah mendapatkan nasihat daripada peguam mengenai masalah rumah tangga mereka.
Isu mengenai keretakan rumahtangga artis dan usahawan tudung tersebut menjadi bualan hangat netizen apabila Fizo dan Mawar dilaporkan menyambut hari raya secara berasingan. Mereka berdua juga sebelum ini pernah menjadi bualan netizen apabila bersusah payah mendapatkan khidmat pakar semata-mata untuk mendapatkan zuriat sebelum dikurniakan si kecil, Wan Maryam.
Apa-apapun, doakan sajalah yang terbaik untut mereka, mungkin jodoh sudah tiada. - CARI
|