Jimmy De Frenne cuba mencipta rekod dunia sebagai manusia yang paling lama duduk atas mangkuk tandas. Kredit foto: INSIDE EDITION
Seorang lelaki dari Belgium berharap dia dapat mencatatkan nama dalam Rekod Dunia Guinness sebagai manusia yang paling lama duduk di atas mangkuk tandas.
Memetik laporan Reuters pada 15 Julai, Jimmy De Frenne telah melakukan aktiviti tersebut selama 116 jam secara terbuka di hadapan para pengunjung di restoran Filip's Place di Ostend, Belgium.
Restoran Filip's Place di Ostend, Belgium. Kredit foto: Strandverblijf
Pada mulanya, dia yang memakai baju T, seluar pendek dan selipar getah berharap mencipta rekod baharu dengan duduk di atas mangkuk tandas yang sebenarnya tidak digunakan selama 165 jam.
Namun, selepas hampir lima hari, De Frenne berhenti melakukannya pada 12 Julai lalu kerana dia berasa sangat letih.
"Saya berasa sangat penat dan kaki saya sakit tetapi saya yakin dengan kejayaan saya dan cuba menjadikan rekod ini diiktiraf secara rasmi," katanya.
Sepanjang tempoh tersebut, De Frenne dibenarkan berehat selama lima minit bagi setiap jam di mana dia dibenarkan menghimpunkannya untuk tidur sebentar, meregangkan kaki atau ke tandas yang benar-benar berfungsi.
De Frenne menjamu selera sambil duduk di atas mangkuk tandas. Kredit foto: Reuters
Dia menjelaskan, pihak Rekod Dunia Guinness tahu tentang perkara itu dan pegawai-pegawai setempat serta saksi-saksi membuat pemantauan bagi mengesahkan usahanya.
De Frenne mendakwa, berdasarkan pengetahuannya, rekod manusia yang paling lama duduk di atas mangkuk tandas sebelum ini adalah 100 jam.
Pihak Rekod Dunia Guinness masih belum memberi sebarang maklum balas tentang perkara tersebut.
Mungkin De Frenne boleh mencuba nasib untuk mencipta rekod dunia sebagai manusia yang paling lama duduk di dalam tandas awam yang sebenar di Malaysia. - CARI |